FOTO ihsan Bomba
FOTO ihsan Bomba
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Seorang pemandu teksi maut selepas van yang dipandunya dihempap sebatang pokok rhu di Jalan Persiaran Putra berhampiran Akademi Koreksional Langkawi, di sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 11.50 pagi ketika mangsa Khamis Jani, 65, dari Kampung Huma, Mukim Ayer Hangat sedang dalam perjalanan menghantar penumpang ke jeti Kuah, di sini.

Berikutan itu, mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu terpaksa dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Penguasa Bomba Nur Hafizah Mohammad Lukman berkata, pihak bomba bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat berhubung kejadian daripada orang awam pada 12 tengah hari.

Beliau berkata, sebanyak dua jentera bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putra dikerah ke tempat kejadian, dengan jentera pertama tiba pada 12.06 tengah hari.

"Difahamkan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan menghala ke jeti Kuah apabila tiba-tiba sebatang dahan pokok rhu patah dan menghempap bumbung teksi sebelum mengena kepala mangsa.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang membuat pemeriksaan sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Katanya, berikutan itu pihak bomba terpaksa memotong dahan pokok terbabit yang menghalang pergerakan lalu lintas.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Langkawi untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 4:24 PM