Ayda Jebat

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Cepat benar masa berlalu. Pejam celik, kita sudah berada di pertengahan Mei dan sedar atau tidak, sudah empat hari kita menjalani ibadah puasa. Macam mana dengan puasa anda setakat ini? Adik harap semuanya berjalan lancar hendaknya.

Bercakap mengenai Ramadan, Adik ingin menyentuh perkara yang patut kita lakukan. Selain melipatgandakan ibadah, wajar juga kita amalkan sikap berjimat cermat. Ketika berbelanja membeli makanan untuk berbuka, berpada-padalah. Jangan sampai berlaku pembaziran.

Adik faham, selepas berpuasa selama 12 jam, ramai teruja bila singgah di bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka. Di situlah kita sering terbabas dan berbelanja secara berlebihan.

Lebih membazir andainya kita hidup bujang dan makanan kelak dibuang begitu saja. Rasa kenyang boleh buat kita rasa mengantuk, macam mana nak solat Tarawih?

Sebaik-baiknya kita bersederhana bagi mengelakkan makanan berlebihan akhirnya dibuang ke dalam tong sampah. Bukankah Ramadan sepatutnya mengingatkan kita akan insan-insan yang tidak berkemampuan? Sama-sama kita renungkan dan cuba elakkan pembaziran.

Selain itu, Adik nak pesan kepada adik-adik kecil supaya jaga diri sepanjang Ramadan. Kalau boleh jangan membazir duit membeli mercun dan bunga api. Ingat, keselamatan diri perlu diutamakan.

Oh ya! sebelum terlupa, Adik juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat yang sudi mengundi sempena DFKL2018 yang berlangsung baru-baru ini. Alhamdulillah, berkat kegigihan anda semua, Adik dan Syafiq Kyle dipilih sebagai Pasangan Pilihan manakala drama lakonan kami, Dekatkan Jarak Kita dipilih sebagai Drama Pilihan.

Ini kemenangan pertama Adik dalam Anugerah DFKL selepas pencalonan untuk drama Rindu Awak 200% empat tahun lalu. Ia hadiah istimewa buat Adik dan peminat. Insya-Allah adik akan berusaha lebih keras untuk memberikan yang terbaik bagi anda semua.

Nampaknya sampai di sini saja coretan Adik untuk minggu ini. Harap anda semua menjalani ibadah puasa dengan sempurna dan menikmati kelebihan bulan penuh rahmat ini sebaik-baiknya.

Jumpa lagi dan selamat berpuasa semua. Jangan curi-curi makan tau!

#KemenanganTerindah SebelumRamadhan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 4:16 AM