Nazarali Saeril


Madinah: Lautan manusia membanjiri Masjid Nabawi di sini, pada hari kesembilan Ramadan untuk bersama-sama menunaikan ibadat selain berbuka puasa.

Penulis mendapati, waktu berbuka puasa antara yang ditunggu pengunjung yang beribadah di sini, yang mana ramai individu budiman mengeluarkan modal besar bagi menaja makanan serta minuman sebagai sedekah jariah.

Makanan dihidang berbeza mengikut bahagian tajaan. Ia membabitkan makanan asas daripada kurma, roti hingga ke Nasi Arab.

Manisnya ketika berbuka di sini, semuanya sanggup berkongsi makanan jika ada yang tidak sempat memperoleh makanan disediakan petugas.

Walaupun saling tidak mengenali, namun umat Islam daripada pelbagai latar belakang serta negara ini cukup kukuh ukhuwahnya.

Satu perkara yang unik, kurang 10 minit masa diambil untuk berbuka sebelum jajaran plastik dibentang untuk diletak hidangan dikemas petugas.

Petugas pula bertungkus lumus membersihkan kotoran serta sisa makanan di lantai perkarangan masjid bagi memudahkan jemaah menunaikan solat Maghrib.

Sejurus selesai solat Maghrib, sebahagian besar jemaah keluar ke lokasi berhampiran untuk meneruskan menjamu selera serta rutin masing-masing.

Penulis berada di Madinah sempena Lawatan Kerja Ke Tanah Suci Bagi Meninjau Persiapan Tabung Haji Bagi Musim Haji 1437 Hijrah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 12:44 PM