MENUNGGU waktu berbuka puasa di Masjid Nabawi.
MENUNGGU waktu berbuka puasa di Masjid Nabawi.
JUADAH ringkas untuk berbuka puasa.
JUADAH ringkas untuk berbuka puasa.
UMAT Islam berbuka di dalam Masjid Nabawi.
UMAT Islam berbuka di dalam Masjid Nabawi.
BERSIAP sedia untuk menunaikan solat Tarawih.
BERSIAP sedia untuk menunaikan solat Tarawih.
PENULIS di depan Kaabah.
PENULIS di depan Kaabah.
Nazarali Saeril


Julung kali menjejakkan kaki ke dua kota suci, apatah lagi di Ramadan yang mulia suatu perjalanan rohani yang sukar diterjemah dengan kata-kata. Kota suci yang didambakan jutaan umat Islam untuk menjejakkan kaki ke sana walaupun sekali seumur hidup. Ikutilah perjalanan Penulis Khas Harian Metro, Nazarali Saeril () ke Madinah dan Makkah menunaikan umrah ketika Ramadan lalu.

Walaupun berada di Syawal yang mulia ini, masih belum terlewat untuk berkongsi pengalaman sepanjang berada di Makkah dan Madinah bersama jutaan umat Islam berpuasa pada akhir Ramadan selain menunaikan umrah.

Satu perasaan yang tidak boleh digambarkan menyentap perasaan sejurus menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Muhammad bin Abdul Aziz Madinah.

Dalam kesejukan pagi, penulis singgah ke masjid bersebelahan lapangan terbang berkenaan untuk menunaikan solat Subuh sebelum berangkat ke Hotel Movenpick, Madinah.

Untuk rekod, penulis berpeluang ke dua kota suci ini bersama wakil media lain atas undangan Tabung Haji Travels pada program Lawatan Kerja ke Tanah Suci Makkah Bagi Meninjau Persiapan Tabung Haji (TH) Bagi Musim Haji 1437H.

Di Madinah, sepanjang berpuasa, satu perkara yang dikagumi ialah ramai individu, khasnya warga tempatan, berebut-rebut untuk bersedekah kepada sesiapa saja tanpa mengira bangsa serta kerakyatan.

Setiap kali menjelang waktu berbuka puasa, sebelum jam 6.30 petang, Masjid Nabawi dipenuhi ratusan ribu umat Islam. Ketika itu, dapat dilihat ramai petugas me­nyediakan juadah berbuka di lokasi masing-masing. Malah petugas turut berebut-rebut menarik tangan pengunjung untuk duduk berbuka di kawasan mereka.

Waktu berbuka pula tidak lama, hanya kira-kira 10 minit sebelum semuanya bangun dan sedia untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah. Pada masa sama, segala kekotoran serta sampah segera dibersihkan ratusan petugas dan apabila imam mengangkat takbir, tiada sampah yang dilihat kecuali ratusan ribu umat Islam khusyuk bertakbir sama.

Apabila ditanya apa rasanya melaksanakan solat Tarawih di dua kota suci, penulis hanya menjawab tiada perasaan yang dapat menggambarkan kepuasannya.

Di Masjid Nabawi, setiap saf dipenuhi lautan manusia. Bukan mudah untuk mencari saf kosong kerana semuanya berebut-rebut untuk mendapatkan kedudukan terbaik. Pada masa sama, setiap saf juga dikawal pihak berkuasa Arab Saudi kerana mereka tidak mahu jemaah terganggu solatnya jika ada yang tiba-tiba menyelinap masuk ke saf yang sudah penuh.

Bacaan ayat suci al-Quran alunan imam Masjid Nabawi memang panjang, namun boleh dikatakan tiada jemaah yang penat berdiri sebaliknya masing-masing khusyuk dalam solat Tarawih. Bersolat di ruang terbuka masjid berkenaan juga cukup mendamaikan kerana cuacanya yang sejuk selain tiada hingar bingar kenderaan.

Selepas empat hari di Madinah, penulis bertolak ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan umrah dan ia waktu yang paling ditunggu-tunggu. Dengan berpakaian ihram, perjalanan kira-kira enam jam menaiki bas ke kota suci berkenaan umpama mengambil masa hanya beberapa minit dek keseronokan dirasai.

Perasan sayu tidak dapat digambarkan sejurus berada di depan Kaabah. Sepanjang melakukan ibadat tawaf serta saie, hanya rasa syukur yang tersemat dalam sanubari penulis.

Selesai umrah, penulis dibawa ke hotel penginapan iaitu Hotel Movenpick terletak di Menara Hajar, Makkah. Hotel ini hanya terletak kira-kira 50 meter dari pintu masuk Masjidilharam.

Tiada banyak beza berpuasa di Madinah serta Makkah. Suasana berbukanya juga hampir sama, namun ramai yang berebut-rebut untuk berada paling hampir dengan Kaabah. Air zam-zam juga menjadi minuman utama berbuka puasa.

Sepanjang Ramadan, jika mahu terus solat Tarawih berhampiran Kaabah, digalakkan supaya tidak keluar dari Masjidilharam selesai berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib. Ini kerana, sebahagian besar yang berada di Masjidilharam tidak akan keluar kerana mereka mahu terus menunaikan solat Tarawih malah menunaikan umrah sunat selain beriktikaf di situ.

Ketika mahu menunaikan Tarawih, jangan hirau pada gangguan seperti jemaah melintas di depan kita atau terlanggar kita kerana semuanya sama seperti kita iaitu mahu beribadat kepada Allah SWT. Mereka turut sama mencari saf kosong. Bagaimanapun, jika berpeluang, rebutlah saf di depan Kaabah.

Berdasarkan pemerhatian serta apa yang penulis sendiri rasai, berpuasa di dua kota suci ini hanya perlukan sedikit pengorbanan daripada kita iaitu kesabaran. Ini kerana, ratusan ribu umat Islam berada di lokasi sama dan pelbagai gelagat ditunjukkan seperti dirempuh warga asing yang bertubuh besar.

Selain itu, cuaca panas mencecah 50 Celsius juga antara cabaran perlu dihadapi. Bagaimanapun, bagi yang sihat, faktor cuaca boleh diatasi kerana rasa mahu beribadat itu melebihi segala-galanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 5:02 AM