SULAIMAN (dua kiri) pada majlis pelancaran ProtectSecure-i Murni di Kuala Lumpur.
SULAIMAN (dua kiri) pada majlis pelancaran ProtectSecure-i Murni di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: AmMetLife Takaful Bhd dan AmBank Islamic Bhd memperkenalkan pelan perlindungan baru, ProtectSecure-i Murni bagi memenuhi keperluan pelanggan Muslim.

Pelan ProtectSecure-i Murni itu diperkenalkan bagi memberi perlindungan kematian dan hilang upaya menyeluruh dan kekal (TPD), perlindungan tambahan ketika mengerjakan haji dan umrah dengan waqaf, haji badal serta pengebumian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmMetLife Takaful Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, pihaknya berpuas hati dengan pelancaran ProtectSecure-i Murni kerana pelan ini memberi perlindungan kepada pelanggan Muslim terutama mereka yang mengerjakan haji atau umrah.

“Pelan ProtectSecure-i Murni itu membuat pembayaran 100 peratus daripada jumlah asas perlindungan beserta baki dalam Dana Pelaburan Peserta (PIF) sekiranya berlaku kematian atau TPD individu dilindungi,” katanya di sini.

Pelan sama turut membabitkan pembayaran tambahan lain sebanyak 100 peratus daripada jumlah asas perlindungan jika berlaku kematian atau TPD ketika individu itu mengerjakan haji atau umrah dengan tambahan manfaat haji badal RM3,000 yang mana penama berkemungkinan melantik wakil untuk mengerjakan haji.

Pelan yang diwujudkan bagi pelanggan Muslim memenuhi tuntutan agama turut menyediakan elaun khas RM1,500 daripada PIF individu pada akhir tahun ketiga untuk membantu persiapan mengerjakan haji atau umrah.

Pelan berkenaan disediakan untuk individu berusia seawal 30 hari sehingga 60 tahun dan matang apabila peserta mencapai umur 80 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 8:13 AM