ANGGOTA Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang memeriksa dan merampas seluar serta  kasut yang tidak mempamerkan penandaan harga. FOTO Zulkepli Osman
ANGGOTA Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang memeriksa dan merampas seluar serta kasut yang tidak mempamerkan penandaan harga. FOTO Zulkepli Osman
Shahrinnahar Latip


Kuantan: Gagal meletakkan tanda harga selain menjual barangan tiruan, seramai 27 peniaga dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam Ops Pra Raya di Bazar 1Malaysia, di sini, malam tadi.

Timbalan Pengarah KPDNKK Pahang, Alwi Abdul Hamid berkata, peniaga terbabit dikenakan kompaun mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Katanya, kompaun dikenakan berjumlah RM7,850 dan 80 peratus daripada peniaga melakukan kesalahan tidak meletakkan tanda harga.

"Barangan tiruan dirampas adalah kasut, baju, beg tangan, jersi, jeans dan minyak wangi.

"Bagaimanapun, jumlah barangan tiruan yang dirampas adalah sikit dan kita lebih menumpukan kepada operasi tidak meletakkan tanda harga," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memantau peniaga yang tidak mematuhi peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 12:17 PM