AMENG menceritakan pengalaman dirinya terjebak dalam pennyalahgunaan dadah pada Wacana: "Dadah: Aku Peduli Kau Jangan Tak Peduli" di Shah Alam, hari ini. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
AMENG menceritakan pengalaman dirinya terjebak dalam pennyalahgunaan dadah pada Wacana: "Dadah: Aku Peduli Kau Jangan Tak Peduli" di Shah Alam, hari ini. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Siraj Mohd Zaini


PERNAH mendengar 'suara' ghaib ketika terjebak dalam penyalahgunaan dadah selama tiga bulan.

Namun, dirinya bernasib baik kerana suara itu tidak memberikan arahan supaya membunuh, sebaliknya memintanya segera insaf.

Itu pengakuan bekas vokalis kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng, 49, ketika menceritakan pengalamannya ketika terjebak dengan najis dadah sejak lebih 20 tahun lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia tinggal di Cheras Baru, Kuala Lumpur dan baru pulang dari sebuah kelab malam di Subang Jaya.

“Ketika dalam perjalanan pulang menaiki kereta pada jam 4 pagi, tiba-tiba ada suara menegur saya daripada belakang dan berkata 'Hei Ameng, apa kau nak jadi sekarang?.

“Saya menyangka diri berkhayal dan bertanya dalam hati sama ada perkara itu benar. Namun, suara itu boleh membaca hati dan berkata memang dia yang sedang berkata di belakang saya.

“Makhluk itu memberitahu saya sudah mahu mati. Lumrah manusia apabila menyebut soal mati, kita akan menjadi takut dan saya ketika itu memandu kereta dalam keadaan menggigil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program wacana bertajuk 'Dadah: Aku Peduli, Kau Jangan Tak Peduli' di Dewan Karangkraf, Shah Alam, hari ini.

Turut hadir sebagai panel, bekas Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Selangor Kairul Anuar Awang dan Ketua Penolong Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Zulkifli Ali.

Ameng berkata, suara itu kemudian memintanya memandu sehingga ke Tanah Perkuburan Islam Cheras, Kampung Baru.

“Suara itu berkata 'aku nak tunjuk kau satu tempat yang kau akan kembali suatu hari nanti, kau cari satu tapak kubur, aku nak tunjuk'.

“Ketika singgah di tanah perkuburan bersendirian, saya melihat cahaya terang seolah-olah ada lampu yang menyuluh di setiap kubur di situ.

“Saya nampak ia bukan tempat mengerikan, namun menginsafkan. Saya menangis teresak-esak di kubur itu walaupun ketika itu saya di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Kata Ameng yang dibebaskan dari Penjara Kluang, Johor akibat penyalahgunaan dadah pada Jun 2016, peristiwa itu turut membuka 'hijab' yang membolehkan dirinya melihat perkara ghaib selama tiga bulan.

“Saya boleh tahu orang yang sembahyang atau tidak, selain melihat bunian. Ini bukan cerita main-main,” katanya.

Dalam pada itu, Ameng menyifatkan dadah memberikan pengalaman cukup menggerunkan dalam kehidupannya kerana kerugian ratusan ribu ringgit duit royalti selain terpaksa meringkuk dalam penjara.

“Kehilangan peminat dan menerima cemuhan daripada pelbagai pihak termasuk ahli keluarga adalah pengajaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 4:26 PM