SHARIFAH berusaha menyediakan keperluan lengkap untuk penghuni.
SHARIFAH berusaha menyediakan keperluan lengkap untuk penghuni.
SYAKIRA (kiri) menjalani kehidupan lebih ceria di rumah anak yatim ini.
SYAKIRA (kiri) menjalani kehidupan lebih ceria di rumah anak yatim ini.
DARI kiri Syakira, Elyssa, Natasya dan Nurul Naqisha mempunyai kisah kehidupan yang tersendiri.
DARI kiri Syakira, Elyssa, Natasya dan Nurul Naqisha mempunyai kisah kehidupan yang tersendiri.
Hajahfarhana Tarmudi


Kehangatan sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin terasa. Di kala ini pastinya ibu bapa, antara orang yang paling sibuk menyiapkan keperluan agar ia dapat diraikan penuh meriah dan sempurna.

Tidak ketinggalan untuk si kecil yang riang gembira apabila dibawa berkunjung ke pusat beli-belah untuk mendapatkan baju atau kasut baru sempena raya.

Di saat kita bergembira rupanya ada insan lain sedang berduka dan meratapi kesedihan apabila tidak dapat menyambut perayaan dengan sempurna.

Bertambah sedih apabila ketibaan bulan Syawal disambut tanpa kehadiran insan tersayang di sisi disebabkan kehilangan ibu dan bapa atau ditinggalkan bersendirian menjadi penghuni di rumah anak yatim.

Menjadi perkara biasa dalam kalangan kanak-kanak apabila menginginkan pakaian dan kasut baru tatkala menjelang musim perayaan, namun tidak semuanya bernasib baik.

Justeru, apabila diberi peluang membeli-belah pakaian baru untuk menyambut hari raya, pastinya ia menjadi kenangan terindah buat mereka.

Namun, itu semua hanya dapat direalisasikan apabila ada individu prihatin yang memberi sumbangan untuk membolehkan kanak-kanak kurang bernasib baik ini membeli pakaian atau kasut idaman mereka.

Impikan kasih sayang dan kegembiraan

Kunjungan ke Rumah Titian Kaseh, Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini begitu menyentuh hati penulis. Manakan tidak, penghuni yang terdiri daripada 95 kanak-kanak berhati cekal ini mempunyai kisah kehidupan berbeza dan boleh menjadi teladan kepada kanak-kanak yang bernasib baik.

Syakira Zawawi, 10, berasal dari Kelantan adalah anak sulung daripada empat beradik. Kehidupan yang dilaluinya sangat susah hinggakan dia dan keluarganya hidup sebagai gelandangan.

“Ibu saya sudah meninggal dunia. Selepas itu, ayah tiri bawa kami adik-beradik ke Kuala Lumpur untuk memulakan kehidupan baru yang lebih selesa.

“Namun, kami tiada tempat tinggal dan disebabkan itu terpaksa tidur di kaki lima masjid. Ketika berusia sembilan tahun, saya dihantar ke rumah anak yatim oleh orang yang melihat kami tidur di kaki lima masjid,” katanya.

Ujarnya, sebelum ini dia memang tidak pernah merasai keseronokan seperti rakan sebaya yang mencari pakaian baru bersama keluarga untuk menyambut Aidilfitri.

Justeru, apabila diberi peluang untuk membeli-belah bersama rakan lain di rumah anak yatim itu pada tahun lalu, dia akui sangat gembira dan menjadi kenangan manis dalam kamus hidupnya.

Bagi Elyssa Roslan, 12, anak bongsu daripada tiga beradik ini juga kematian ibu sejak kecil lagi. Keperitan dan kesusahan hidup dilalui ayahnya itu membuatkan mereka tiga beradik ditinggalkan di rumah anak yatim ini.

“Ayah memang tidak pernah datang menjenguk selepas meninggalkan kami. Kalau ayah datang, mungkin saya tidak kenal sebab saya ditinggalkan di sini sejak kecil.

“Biarpun sedih dengan keadaan yang menimpa diri, setiap tahun kami tidak lupa untuk menziarahi kubur arwah ibu. Saya sangat rindukan ibu dan apa yang saya boleh buat hanyalah menatap gambarnya untuk menghilangkan kerinduan,” katanya.

Sama seperti kanak-kanak lain yang masih mengharapkan kasih sayang daripada insan tersayang, dia juga tidak terlepas daripada keinginan untuk mengenakan pakaian baru di hari raya.

Biarpun tidak dihiraukan ayah sendiri, dia bersyukur kerana masih ada insan yang prihatin untuk memberikan pakaian raya setiap tahun, malah tidak keberatan membawanya membeli-belah bersama.

Berbeza bagi Nor Iman Natasya Muhamad Syariman, 12, yang tinggal di rumah berkenaan disebabkan ayah tirinya menghilangkan diri secara tiba-tiba.

Ketika itu usianya baru menginjak 10 tahun dan dia sekeluarga (ibu dan tiga lagi adik-beradiknya) menjadi penghuni di sana kerana hilang tempat bergantung.

“Saya tidak pernah bersekolah. Saya mula merasai alam persekolahan selepas tinggal di sini dan tentulah agak sukar kerana banyak subjek yang tertinggal.

“Namun, saya sangat bersyukur dapat tinggal di sini kerana sebelum ini kami asyik berpindah randah. Malah, kami juga pernah menumpang di rumah kawan ibu. Bukan itu saja, kami juga pernah tinggal di rumah kosong yang tiada api dan air. Adakalanya, di waktu malam kami terpaksa tidur di tepi jalan,” katanya.

Nurul Naqisha Abdullah, 12, hanya mendiamkan diri mendengar cerita rakannya itu, cuba menahan kesedihan mengenangkan nasib diri yang lebih malang.

“Saya tidak tahu kenapa dihantar ke sini. Sebelum dihantar ke sini, saya tinggal bersama ibu saudara tiri. Sebelum tinggal di sini, saya juga tidak pernah bersekolah, tetapi kehidupan tidaklah susah dan hubungan dengan ibu saudara baik saja. Jadi, saya tidak faham mengapa saya ditinggalkan di sini,” katanya perlahan.

Tanpa sebarang maklumat yang lengkap, dia ditinggalkan bersama MyKid di sisi. Lebih menyedihkan, tiada siapa pun yang datang menjenguknya walaupun masih ada ibu dan ayah tiri. Setiap kali tibanya Ramadan dan Aidilfitri, dia menangis hiba mengenangkan dirinya yang tidak dikehendaki keluarga sendiri.

Ujarnya, selepas dua tahun tinggal di rumah berkenaan dia sangat rindu hendak berjumpa ibu dan ibu saudaranya, apatah lagi musim perayaan yang hampir tiba.

Namun, itu semua hanya angan-angan dan dia sangat berharap ada insan tersayang sudi menjenguk dirinya biarpun seketika agar dia tahu masih mempunyai keluarga kandung yang mengambil berat mengenai dirinya.

Biarpun berlainan kisah kehidupan yang dilalui, kanak-kanak ini begitu mengharapkan kasih sayang daripada ibu atau bapa sendiri. Kesedihan ini pastinya lebih dirasai apabila tibanya bulan Ramadan dan Syawal kerana ketika ini kebanyakan daripada kita mengambil peluang untuk berkumpul bersama seisi keluarga.

Justeru, bagi yang masih punya ibu bapa, hargailah mereka dan jangan sia-siakan pengorbanan serta kehadirannya di sisi kita. Andai mereka sudah tiada, menyesal tidak ada gunanya kerana yang tinggal hanyalah kenangan lama yang tidak mungkin dapat diulang semula.

Kempen kumpul dana

Jelas Pengasas Rumah Titian Kaseh, Sharifah Adlan, dia akan berusaha memastikan setiap penghuni di rumah berkenaan menyambut perayaan dalam keadaan yang sempurna.

“Apabila sudah bergelar ibu, secara spontan kita dapat memahami naluri kanak-kanak apatah lagi jika tibanya musim perayaan. Kami akan membuat persediaan yang sama seperti keluarga lain dan saya akan pastikan keperluan penghuni di sini mencukupi.

“Menyediakan baju baru dan berusaha mendapatkan maklumat keluarga masing-masing adalah perkara utama yang harus dilakukan agar kanak-kanak ini dapat beraya dalam suasana gembira setiap tahun.

“Tidak ketinggalan untuk menyediakan juadah enak agar dapat dinikmati bersama-sama supaya mereka tidak berasa terasing ketika meraikan Syawal.

“Justeru, saya berasa sangat gembira apabila ada individu atau syarikat yang prihatin untuk menyempurnakan dan memberi kegembiraan kepada penghuni di sini,” katanya.

Memahami keperitan dilalui kanak-kanak kurang bernasib baik, jenama pencuci pakaian terkemuka, Breeze menganjurkan kempen Ramadan untuk mengumpul sumbangan bagi membeli sepasang baju raya baru untuk mereka.

Menurut Pengurus Jenama Kumpulan Perniagaan Rumah dan Penjagaan Diri Unilever (M) Holdings Sdn Bhd, Lee You Ning, kempen berkenaan adalah program pertama yang diadakan bagi memberi pulangan dengan membuat kebaikan kepada masyarakat terutama golongan kurang bernasib baik.

“Program ini sudah bermula awal Ramadan dan berlanjutan hingga akhir Jun ini. Kami sangat berharap kempen ini berjaya mengutip jumlah sumbangan yang diperlukan untuk disalurkan kepada lima rumah anak yatim terpilih iaitu Rumah Anak-Anak Yatim Shifa’, Rumah Bakti Datuk Harun, Rumah Anak-Anak Yatim Darul Kifayah, Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash Shakur dan Rumah Titian Kaseh.

“Pada kemuncak kempen, kami akan membawa 71 kanak-kanak ke Mydin Subang Jaya untuk membeli baju raya baru yang di­inginkan,” katanya.

Bermula 6 Jun, Breeze akan menyumbang RM1 daripada setiap unit pembelian cecair pencuci pakaian dan sumbangan yang berjaya dikumpul itu akan digunakan bagi membeli pakaian raya untuk kanak-kanak kurang bernasib baik.

Bagi menggalakkan orang ramai untuk turut serta dan membawa kegembiraan kepada kanak-kanak ini, Breeze turut melancarkan video kempen yang boleh ditonton di laman sosial Facebook Breeze Malaysia atau di www.ulhmomecare.com.my.

Perjalanan cerita yang menyentuh perasaan itu mengisahkan kepentingan mengajar dan mendidik kanak-kanak mengenai amalan menderma dan berbuat baik sesama insan khususnya ketika Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 11:29 AM