CARIESSA (kanan) membantu Sunderi memilih helaian sut Punjabi yang sesuai dengannya.
CARIESSA (kanan) membantu Sunderi memilih helaian sut Punjabi yang sesuai dengannya.
SEORANG kanak-kanak Rumah Sri Sai dengan sukarelawan F&NHB.
SEORANG kanak-kanak Rumah Sri Sai dengan sukarelawan F&NHB.
KANAK-KANAK dari Rumah Sri Sai diraikan dengan sesi membeli-belah untuk sambutan Deepavali di Ajuntha Textiles, Klang.
KANAK-KANAK dari Rumah Sri Sai diraikan dengan sesi membeli-belah untuk sambutan Deepavali di Ajuntha Textiles, Klang.
Nor Faizah Mohamed


Huluran bantuan terutama bagi yang memerlukan sememangnya dapat memberikan kegembiraan pada si penerima.

Malah kata orang, tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima sementara si penerima pula mendapat manfaat sepatutnya.

Justeru di saat menjelangnya musim perayaan seperti Deepavali ini, tidak salah kiranya kita berkongsi kegembiraan dirasai bersama mereka yang kurang bernasib baik.

Kedatangan musim perayaan seperti Deepavali ini juga bukan saja dinantikan segenap lapisan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, malah ia dianggap saat istimewa bagi meraikan semangat berkongsi dan saling memberi.

Biarpun tidak perlu menunggu sehingga munculnya satu-satu hari keraian kerana pemberian hadiah sepatutnya diamalkan sepanjang tahun, rata-rata seronok membeli hadiah pada musim perayaan yang nyata harganya jauh lebih murah.

Budaya memberi ini juga tidak semestinya memerlukan barangan atau produk tertentu. Seperti apa dilakukan Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB), pemberian sepasang baju baru amat bermakna bagi mereka yang memerlukan khususnya golongan anak yatim.

Bagi Mathawan Ragawan, 13, dan Sunderi Mohan, 12, lazimnya hari mereka bermula seawal jam 5 pagi di Rumah Anak Yatim Sri Sai, Selangor.

Bersama 35 penghuni lain, mereka bergilir membuat persiapan, menyediakan sarapan dan menyempurnakan kerja rumah.

Namun Sabtu lalu amat berbeza bagi Mathawan, Sunderi dan penghuni lain apabila mereka dibawa membeli-belah sempena Deepavali di Ajuntha Textiles, Klang, Selangor.

Sememangnya pengalaman yang jarang diperoleh ini membuatkan kanak-kanak itu teruja dan lebih bersemangat untuk meraikan pesta cahaya itu tahun ini.

Bagaikan VIP mereka diberi layanan khas apabila gedung dua tingkat itu membuka pintunya lebih awal khusus untuk membolehkan kanak-kanak ini memilih pakaian dengan tenang dan selesa.

Berbekalkan wang poket RM200 setiap seorang, kanak-kanak itu seronok memilih dan mencuba pelbagai rekaan yang menepati selera mereka.

Sukarelawan F&NHB tidak ketinggalan membantu terutama dalam memadankan helaian yang sesuai.

“Deepavali ialah perayaan istimewa untuk masyarakat Hindu di seluruh dunia. Ia juga adalah masa untuk kita mengingati golongan kurang bernasib baik dan tampil membantu mereka.

“Ini kali keenam kami menganjurkan program beli-belah Deepavali dan setiap tahun kami teruja apabila melihat keceriaan serta senyuman di wajah mereka apabila dapat memilih pakaian sendiri.

“Kami harap usaha ini sedikit sebanyak akan menceriakan perayaan Deepavali mereka tahun ini,” kata Pengurus Hal Ehwal Korporat F&NHB, Cariessa Goh.

Ketika ditanya, Mathawan berpuas hati dengan pilihannya iaitu jippa rona jingga yang dihiasi corak menarik.

“Saya tidak sabar menanti kedatangan Deepavali setiap tahun, tambahan kali ini saya berpeluang bergaya dengan baju baru.

“Saya mungkin menziarahi rakan dan saudara-mara, menghadiri majlis dan menikmati achu murukku kegemaran saya,” katanya yang bercita-cita menjadi polis.

Sunderi pula tertarik dengan helaian lengha warna terang dan sari bersulam labuci sebaik saja melangkah masuk ke Ajuntha Textiles .

“Semuanya cantik. Walaupun tidak dapat membelinya, saya puas hati dengan pilihan saya iaitu dua baju Punjabi warna ungu,” jelasnya.

Meskipun baru tiga tahun tinggal di Sri Sai, Sunderi menyifatkan rakan dan penjaga di situ seperti ahli keluarganya.

“Hidup dengan 36 ‘adik-beradik’ lain memang menyeronokkan walaupun ada antara mereka yang nakal.

Kami lakukan banyak perkara bersama terutama ketika Deepavali,” kata Sunderi yang berhasrat menjadi doktor.

Aktiviti membeli-belah menyeronokkan itu berakhir dengan sesi makan tengah hari di Restoran Chat Masala sebelum pulang.

Buat masa ini, Rumah Sri Sai melindungi kanak-kanak terabai dan daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Rumah kebajikan itu menjaga keperluan pelajaran mereka sehingga ke Sijil Pelajaran Malaysia dengan menyediakan persekitaran yang sihat untuk memupuk pertumbuhan positif.

Selain kanak-kanak, rumah ini juga menempatkan golongan gelandangan, kurang upaya dan warga tua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 11:15 AM