DZULKIFLI (kiri) bersama Pengarah Urusan Kumpulan GTC, T T Teoh ketika sidang media MEEC, semalam.
DZULKIFLI (kiri) bersama Pengarah Urusan Kumpulan GTC, T T Teoh ketika sidang media MEEC, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berhasrat meningkatkan promosi dan paparan syarikat tempatan dalam sektor perkhidmatan di Pusat Pameran Eksport Malaysia (MEEC) menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, ketika ini jumlah syarikat tempatan dalam sektor perkhidmatan yang mempamerkan produk di fasiliti milik MATRADE dilihat amat rendah berbanding sektor lain.

“Kami menyasarkan peningkatan 15 hingga 20 peratus penyertaan syarikat dalam sektor perkhidmatan di MECC dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya pada sidang media MEEC, di sini, semalam.

Pada masa ini, MEEC menawarkan ruang paparan kepada 500 syarikat tempatan daripada 30 industri seperti makanan dan minuman, produk plastik, produk berasaskan kimia, peralatan automotif, elektrik dan elektronik, produk fesyen dan perabut serta lain-lain.

Daripada 500 syarikat, hanya terdapat 29 syarikat tempatan dalam sektor perkhidmatan mempamerkan produk mereka di MEEC atau mewakili lima peratus jumlah keseluruhan.

Beliau berkata, MATRADE menyeru lebih ramai komuniti perniagaan tempatan memanfaatkan kewujudan MEEC di tingkat 2, Menara MATRADE, di sini bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pemain global.

Menurutnya, pusat itu boleh dianggap sebagai pusat penyumberan syarikat tempatan dan antarabangsa serta membantu pelawat perdagangan pelbagai negara melihat produk dan perkhidmatan didapati di negara ini.

“MEEC menawarkan platform kos efektif bagi syarikat Malaysia mempamerkan jenama mereka kepada pembeli luar yang melawat negara ini dan memudahkan pembeli antarabangsa melakukan aktiviti penyumberan mereka,” katanya.

Selain memaparkan jenama buatan Malaysia, MEEC berfungsi sebagai pusat syarikat tempatan dan antarabangsa mengadakan mesyuarat perniagaan melalui Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) di mana 67 mesyuarat perniagaan INSP diadakan di MEEC tahun lalu.

Pada 2015, MEEC menerima 6,741 pengunjung berbanding 6,701 (2014) dan 6,6669 (2013) dengan potensi jualan yang dijana MEEC pada suku pertama tahun ini meningkat kepada RM41.85 juta berbanding RM2.03 juta bagi tempoh masa sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 7:17 AM