SYARIKAT Malaysia berpeluang untuk berhubung dengan kalangan 11 pembeli premium yang mewakili beberapa konglomerat, peruncit dan pasar raya terbesar di Indonesia, Thailand, Hong Kong, Qatar, Turkiye, United Kingdom, Perancis and Australia. FOTO Arkib NSTP
SYARIKAT Malaysia berpeluang untuk berhubung dengan kalangan 11 pembeli premium yang mewakili beberapa konglomerat, peruncit dan pasar raya terbesar di Indonesia, Thailand, Hong Kong, Qatar, Turkiye, United Kingdom, Perancis and Australia. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Lebih 470 pembeli antarabangsa dari 40 negara akan mengambil bahagian dalam Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, jumlah pembeli antarabangsa yang lebih tinggi, meningkat berbanding 389 pada tahun lepas, membuktikan Mihas sebagai platform yang dipercayai untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan halal berkualiti tinggi.

"Ini membuka peluang eksport baharu kepada syarikat Malaysia, khususnya perniagaan kecil dan sederhana untuk berhubung dengan pembeli asing yang penting," katanya dalam kenyataan.

INSP Mihas merangkumi mesyuarat perniagaan satu dengan satu yang diatur terlebih dahulu secara fizikal dan maya yang menghubungkan pembeli antarabangsa dengan pembekal produk dan perkhidmatan halal di Malaysia.

INSP secara fizikal akan diadakan pada 11 September di Menara Matrade, Kuala Lumpur, manakala program secara maya pula dianjurkan pada 20 Mac hingga 30 November.

Para pembeli adalah dari Timur Tengah, Eropah, Asia Tengah, Asia Selatan, Asia Tenggara, Oceania, Amerika dan Afrika.

Mohd Mustafa berkata, syarikat Malaysia berpeluang untuk berhubung dengan kalangan 11 pembeli premium yang mewakili beberapa konglomerat, peruncit dan pasar raya terbesar di Indonesia, Thailand, Hong Kong, Qatar, Turkiye, United Kingdom, Perancis and Australia.

"Pembeli antarabangsa yang menyertai INSP Mihas tahun ini berminat untuk mendapatkan produk daripada sektor halal seperti makanan dan minuman, e-dagang, pendidikan, peruncitan dan francais serta fesyen dan gaya hidup sederhana," katanya.

Pada tahun lepas, INSP Mihas menghubungkan 510 syarikat Malaysia dengan 389 pembeli antarabangsa yang menjana urus niaga bernilai RM745.20 juta kepada pengeksport Malaysia.

"Kami meramalkan program ini mengulangi kejayaan sama pada tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 7:54 AM