Mohd Aminuddin
Mohd Aminuddin
myMetro

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengunjurkan peningkatan lima peratus bagi jualan menerusi program padanan perniagaan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) tahun ini.

Pengarah Bahagian Promosi Perkhidmatan, Dagangan Makanan, Biotech dan Halal Matrade, Mohd Aminuddin Sham Tajudin berkata, jualan melalui INSP tahun lalu RM443.2 juta.

Katanya, INSP kali ini akan berlangsung pada 29 Mac, diadakan sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) bermula 30 Mac hingga 2 April ini.

“Kami yakin mencapai peningkatan lima peratus yang disasarkan, terutama di bawah aktiviti padanan perniagaan bersama pembeli antarabangsa.

“Matrade juga menyasarkan 600 syarikat tempatan dan 450 syarikat asing dari 39 negara akan menyertai INSP kali ini yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah, Unit Pentadbiran Bahagian Khidmat Pengurusannya, Norzihan Mohd Zin dan

Pengarah eBisnes dan Teknologi Maklumatnya, Raja Nor Zihan Raja Mohsin.

Mohd Aminuddin berkata, antara negara yang menyertai INSP ialah Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, Hong Kong, Russia, Korea Selatan, Turki dan Afrika Selatan.

Menurutnya, Matrade sentiasa membuka ruang serta memberi peluang kepada syarikat berpotensi supaya dapat melebarkan sayap ke peringkat lebih tinggi dengan menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, Matrade juga merancang mengatur lebih 5,000 mesyuarat perniagaan antara syarikat tempatan dan asing tahun ini berbanding 2,787 mesyuarat sebelumnya.

“Dengan bertemu pembeli, syarikat Malaysia dapat mengembangkan dengan kos efektif perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 8:58 AM