Kereta yang dinaiki mangsa. FOTO ihsan bomba
Kereta yang dinaiki mangsa. FOTO ihsan bomba
Mohd Sah Muda

Mersing: Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) maut selepas kereta dinaiki bersama dua rakannya bertembung lori di Kilometer 10, Jalan Mersing-Endau dekat sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira 11.30 pagi itu menyebabkan Jackson Arthur John Tan, 29, yang bertugas di Daerah Maritim Johor Bahru, dekat sini, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.

Rakannya, Mohd Shayril Zul Sahili, 23, cedera di kaki, manakala Mohd Nizam Mohd Yasin, 31, cedera di dahi kiri dan menerima rawatan di Hospital Mersing.

Ketua Polis Daerah Mersing Deputi Superintendan M Kumar berkata, pemandu lori berusia 34 tahun cedera di mata kanan dan menerima rawatan di hospital sama.

"Hasil siasatan awal polis mendapati Proton Waja dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Endau, dekat sini.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, Proton Waja itu dipercayai cuba memintas sebuah kenderaan di hadapannya, namun gagal memasuki semula lorongnya sebelum melanggar lori yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Akibat kemalangan itu katanya, mangsa yang duduk di bahagian hadapan maut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 4:33 PM