KEADAAN kereta Proton Waja yang terbabit kemalangan di kilometer 47 Jalan Batu Pahat-Mersing dekat Sri Lalang Kluang. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereta Proton Waja yang terbabit kemalangan di kilometer 47 Jalan Batu Pahat-Mersing dekat Sri Lalang Kluang. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Wanita warga emas maut manakala tiga yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan Proton Waja dan lori bermuatan ais di kilometer 47 Jalan Batu Pahat-Mersing dekat Sri Lalang di sini kira-kira 1 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa Ungku Zaidah Mansor, 70-an, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Katanya, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati Proton Waja dari arah Batu Pahat menghala ke Kluang manakala lori pula dari arah bertentangan.

"Apabila tiba di tempat kejadian, lori dipandu seorang lelaki berusia 60-an disyaki hilang kawalan dan masuk ke laluan Proton Waja.

"Akibat perlanggaran itu, wanita berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori cedera dan menerima rawatan zon kuning di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

"Pemandu Proton Waja, Md Yunus Dhal, 70-an, cedera di kepala dan tangan, manakala penumpang belakang, bayi Afif Imran Shamsul berusia dua tahun luka di dagu dan leher. Mereka menerima rawatan di zon merah HEBHK," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 7:01 PM