Kemalangan maut di Kilometer 80 Johor Bahru-Mersing. FOTO Ihsan Bomba
Kemalangan maut di Kilometer 80 Johor Bahru-Mersing. FOTO Ihsan Bomba
Omar Ahmad


SEORANG lelaki maut apabila kenderaan yang dinaikinya bertembung dengan lori di Kilometer 80 Johor Bahru- Mersing, Kota Tinggi, petang hari ini.

Dalam kemalangan 2.50 petang itu, mangsa, Mohammad Razif Ismail, 22, yang menaiki kereta Proton Waja itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu dan seorang lagi penumpang parah.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kemalangan membabitkan kereta Proton Waja dinaiki mangsa dengan lori Isuzu.

Katanya, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta Proton Waja dari Mersing menghala ke arah Johor Bahru mengelak sebuah pacuan empat roda yang memotong di laluan bertentangan.

"Kereta dinaiki mangsa cuba mengelak ke kiri jalan sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori.

"Pemandu kereta dan penumpang belakang, lelaki yang masing-masing berusia 25 tahun dan 24 tahun parah, manakala penumpang hadapan (Mohammad Razif) meninggal dunia.

"Pemandu lori berusia 35 tahun serta isterinya berusia 21 tahun hanya mengalami cedera ringan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut diteruskan bagi memastikan punca sebenar kemalangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 11:21 PM