Oleh Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melancarkan Skuad Taktikal Khas 3 bagi tujuan membanteras aktiviti maksiat, perjudian dan gengsterism dengan lebih berkesan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, skuad khas yang dinamakan Skuad Khas Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (STAGG) itu akan menjalankan operasi mengesan dan menangkap 'jerung' yang menjadi ketua dalam aktiviti jenayah berkenaan.

Katanya, kumpulan pertama STAGG dianggotai seramai 220 pegawai dan anggota polis pelbagai pangkat termasuk20 pegawai awam yang diketua seorang Komander berpangkat Deputi Komisioner (DCP).

"Pasukan ini akan memfokuskan kepada operasi khas berdasarkan maklumat yang dikumpul dan fokus utama adalah menumpaskan kumpulan kongsi gelap yang dipercayai aktif menjalankan aktiviti maksiat dan judi," katanya.

Katanya, penubuhan itu juga adalah satu daripada usaha PDRM menumpaskan kegiatan jenayah di negara ini dan mengembalikan kepercayaan masyarakat yang sering kali memandang sinis terhadap tindakan polis sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 1:23 PM