Intan Mas Ayu Shahimi


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan terus memperkasa usaha mendidik golongan ibu bapa supaya lebih peka dengan perkembangan dan tahap keselamatan anak-anak, terutama berkaitan isu penderaan seksual.

Timbalan Menterinya Datuk Azizah Mohd Dun berkata, pendedahan kes pedofilia Britain, Richard Huckle yang menjadikan kanak-kanak Malaysia sebagai mangsa, memberi tamparan hebat kepada semua pihak.

"Dari sudut keibubapaan, isu ini menjadi 'wake up call' kepada ibu bapa untuk lebih peka dengan pergaulan anak-anak.

"Jika dulu anak-anak diberi kebebasan bersosial, sekarang ibu bapa mula berasa cemas dan mengambil berat.

"Ini perkembangan positif yang perlu kita sambut dengan pelbagai penambahbaikan dalam kursus keibubapaan supaya selari dengan perubahan zaman," katanya media selepas merasmikan Galeri Warna Warni 50 tahun Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 8:48 PM