HANNAH beramah mesra dengan peserta program 'Good Enough Parenting'. Turut sama, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan LPPKN, Adzhar Ismail dan penceramah, Dr John Philips Louis. FOTO Aziah Azmee.
HANNAH beramah mesra dengan peserta program 'Good Enough Parenting'. Turut sama, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan LPPKN, Adzhar Ismail dan penceramah, Dr John Philips Louis. FOTO Aziah Azmee.
BERNAMA

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyokong bagi mengenakan tindakan undang-undang terhadap ibu bapa yang tidak menjaga kebajikan anak-anaknya.

Timbalan menterinya, Hannah Yeoh berkata, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, tindakan itu wajar dilaksanakan supaya ibu bapa lebih mengambil berat mengenai kebajikan anak mereka.

“Dalam Akta Kanak-Kanak memang sudah ada peruntukan kalau ibu bapa mendedahkan anak kepada risiko seperti ini (basikal lajak) atau terdapat isu pengabaian, ataupun ibu bapa tidak menjaga anak dengan teliti, tindakan boleh diambil.

“Jika ada isu kebajikan kanak-kanak tidak dijaga dengan baik, kami (kementerian) memang menyokong penggunaan akta ini dikuatkuasakan supaya kebajikan kanak-kanak diambil serius oleh ibu bapa,” katanya selepas merasmikan bengkel Good Enough Parenting (GEP), hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias semalam bahawa ibu bapa boleh dikenakan tindakan undang-undang jika anak mereka terlibat dengan aktiviti basikal lajak sehingga mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya lain.

Bagaimanapun, Hannah berkata, ibu bapa tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana terdapat situasi anak-anak masih tidak mendengar kata walaupun sudah dimarahi dan didisiplinkan, sekali gus penting jika ibu bapa melengkapkan diri dengan kemahiran keibubapaan.

Beliau juga meminta ibu bapa yang mempunyai masalah komunikasi dengan anak untuk menghubungi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di seluruh Malaysia bagi mendapatkan bantuan kaunseling dan kursus keibubapaan.

“Ada ramai yang tidak tahu bagaimana membesarkan anak remaja atau menghentikan ketagihan gajet. Oleh itu, kita perlu memberi kemahiran kepada ibu bapa. Semua masalah sosial selalunya bermula dengan masalah kelemahan di rumah,” katanya.

Sempena majlis hari ini, bengkel GEP yang dianjurkan HOPE Worldwide Malaysia dengan kerjasama LPPKN akan melatih peserta untuk menyediakan panduan kepada ibu bapa bagi memenuhi keperluan emosi teras anak mereka.

Program bermula 5 hingga 7 Nov itu membabitkan 43 peserta yang terdiri daripada jurulatih LPPKN, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat serta wakil daripada Institut Sosial Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 2:07 PM