PASANGAN artis teruja bakal timang cahaya mata kedua Ogos ini.
PASANGAN artis teruja bakal timang cahaya mata kedua Ogos ini.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Pasangan pelakon, Aeril Zafrel, 27, dan Wawa Zainal, 24, teruja apabila bakal menyambut kelahiran cahaya mata kedua, sekali gus menjadi pelengkap kebahagiaan rumah tangga mereka.

Kandungan Wawa kini mencecah tujuh bulan dan dia dijangka bersalin 24 Ogos ini. Anak sulung mereka Ahmad Fakharuddin Attar kini sudah berusia setahun 10 bulan.

Lebih istimewa, tarikh Wawa dijangka bersalin itu sama dengan tarikh lahir Attar.

Seakan-akan mengetahui bakal mendapat adik baru, menurut Aeril, anak sulungnya itu sudah mulai berubah sikap.

“Sejak kebelakangan ini Attar jadi semakin manja dan sudah pandai merajuk. Pendek kata, dia sentiasa mahukan perhatian daripada kami,” katanya.

Aeril berkata, kali ini dia tidak begitu bimbang kerana Wawa sudah berpengalaman melahirkan anak sebelum ini.

“Dari segi persediaan Wawa sudah ada pengalaman, cuma kehamilan kali ini dia cepat penat berbanding yang sulung dulu.

“Menurut Wawa, anak dalam kandungan sangat aktif. Sebab itu saya tidak membenarkannya terlalu bekerja dan memintanya lebih banyak berehat di rumah,” katanya.

Aeril berkata, Wawa terpaksa ditahan di hospital hampir seminggu selepas pulang dari menjalani peng­gambaran di luar negara, baru-baru ini.

“Waktu itu saya bimbang jika berlaku apa-apa pada kandungannya. Alhamdulillah, selepas diperiksa semuanya dalam keadaan baik. Mungkin sebab dia terlalu penat dan tak cukup rehat, akhirnya jatuh sakit,” katanya.

Perlahankan lakonan

Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap kali Ramadan Aeril akan memperlahankan kerjaya seninya.

“Berbeza tahun ini kerana saya sudah ada perniagaan sendiri. Memandang­kan ia baru dilancarkan lima bulan lalu, jadi Ramadan kali ini saya akan fokus pada perniagaan pakaian kami iaitu WA.Clothing.

“Insya-Allah jika sudah ada platform yang betul dan punya pasaran yang ­bagus, baru kami cari pekerja. Buat sementara waktu, Wawa yang memantau perniagaan itu,” katanya.

Kini Aeril masih sibuk menjalani penggambaran drama Hidayahmu Ramadan untuk Samarinda di TV3.

Selain itu, Aeril juga dilantik menjadi duta bagi kempen #syukurselalu bagi program sepanjang Ramadan di TV3 dan TV9.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 5:02 AM