ASFAN sifatkan Fatamorgana Cinta sebagai karya balada hibrid.
ASFAN sifatkan Fatamorgana Cinta sebagai karya balada hibrid.
HM Digital

Nama penyanyi Asfan Shah boleh dikatakan sebati dengan lagu OST untuk drama. Terbaru, dia hadir dengan lagu berjudul Fatamorgana Cinta.

Lagu OST drama bersiri Cinta Fatamorgana itu seperti biasa masih mengekalkan identiti muzik penyanyi berusia 33 tahun ini.

Namun, ada sedikit kelainan yang ditampilkan dari segi muzik dan perkara itu diakui Asfan.

“Buat pertama kali, saya hasilkan karya yang ‘besar’. Dari sudut bunyi dan melodi, ia lebih ‘kaya’ berbanding karya saya sebelum ini,” katanya.

Menyifatkan Fatamorgana Cinta sebagai karya balada hibrid, Asfan hanya mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan rakaman.

“Saya gelarkannya balada hibrid kerana menyelitkan elemen elektronik dalam lagu berentak balada.

“Proses rakaman berlangsung selama tiga hari. Hari pertama, saya hasilkan melodi. Hari kedua, saya siapkan vokal dan hari ketiga, ‘mixing’.

“Dalam tempoh seminggu, saya siapkan perincian dan berikan sentuhan terakhir supaya semuanya kedengaran merdu,” katanya.

Dari segi lirik, Fatamorgana Cinta berkisar mengenai ketidakpastian dalam cinta. Kalau diamati liriknya, jelas apa yang ingin disampaikan.

“Dalam lagu ini, karakternya seperti tertanya-tanya kesudahan kisah cintanya dengan pasangan,” katanya.

Di YouTube, video muzik Fatamorgana Cinta yang dimuat naik pada 13 April lalu mencecah jumlah tontonan lebih 1.6 juta.

INFO:

Lagu: Fatamorgana Cinta

Penyanyi: Asfan Shah

Komposer: Asfan Shah

Lirik: Fedtri Yahya & Asfan Shah

Label & edaran: Rusa Music

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 4:04 AM