USTAZ Hasbi
USTAZ Hasbi
Sudirman Mohd Tahir


PENULIS lirik lagu nyanyian semula atau versi ‘cover’, Ustaz Hasbi Muh Ali tidak menjangka lagu itu tular sepanjang tempoh dua minggu ini.

Hasbi, 34, yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Kalabakan, Tawau, Sabah berkata, parodi itu sudah dirakam sejak 2017 lalu beberapa bulan selepas penyanyi asal, Projector Band melancarkan lagu itu.

“Lagu asal ialah Aisyah, tapi saya ubah lirik dan tajuk kepada Aisyah RA. Namun, apabila versi parodi ini mula dinyanyikan semula di Indonesia mereka tukar kepada Aisyah Isteri Rasulullah.

“Tidak menjangka pula lagu ini tular sepanjang dua minggu lepas selepas dinyanyikan sensasi YouTube, MS Muallimah. Malah, 10 lagu dalam carta trending adalah versi nyanyian semula lagu ini.

“Begitu juga selepas dinyanyikan Nissa Sabyan terus menlonjak ke kedudukan nombor satu. Kemudian, beberapa penyanyi tempatan mulai menyanyikan lagu ini, termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza,” katanya kepada Harian Metro.

PENYANYI, Nissa Sabyan
PENYANYI, Nissa Sabyan

Menurut Hasbi, walaupun lirik lagu parodi itu menimbulkan perdebatan dalam kalangan ulama di Indonesia, dirinya tetap bersyukur apabila turut menarik minat orang bukan Islam di sana.

“Isu timbul apabila lirik diterjemahkan ke bahasa Indonesia. Jadi, wujud kekeliruan di situ. Hanya satu pihak saja yang berasakan ia kurang sesuai, selebihnya okay. Malah, Ustaz Abdul Somad juga memberikan komen mengatakan lirik dan bahasa lebih dekat dengan anak muda zaman sekarang.

“Kebanyakan yang menyanyikan semula lagu ini di sana adalah orang bukan Islam. Mereka DM saya minta izin kerana tertarik dengan lirik. Dari situ mereka dapat kenal Rasulullah.

PENYANYI, Datuk Seri Siti NurHaliza.
PENYANYI, Datuk Seri Siti NurHaliza.

“Pada awal menghasilkan lirik ini, saya merujuk pada sembilan hadis Nabi yang menceritakan sifat Aisyah, perilaku Aisyah terhadap Rasulullah, sikap romantis Rasulullah dan banyak lagi. Dalam masa sama, saya juga bertanya kepada beberapa penulis lirik lagu nasyid,” katanya.

Hasbi yang menggunakan nama Mr Bie di YouTube mula berkecimpung dalam dunia nyanyian semula lagu pada 2010.

Dia pernah tular menerusi lagu Ombak Rindu, Sayang (Shae) dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 10:30 AM