Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei (gambar) diberikan penghormatan untuk menjadi pembawa Jalur Gemilang di Sukan Olimpik Rio pada Ogos nanti.

Pemilihan itu dilihat sebagai tonik terbaik buat jaguh badminton negara berkenaan yang menjadi sandaran memburu pingat emas Olimpik pertama untuk negara.

Chong Wei yang meraih dua pingat perak ketika temasya di Beijing 2008 dan London 2012 dijangka tampil buat kali terakhir di pentas sukan terbesar dunia itu.

“Saya fikir dia layak diberikan tanggungjawab ini. Dia sudah menjadi ikon sukan untuk sekian lama.

“Saya berharap pemilihan ini akan memberikan motivasi kepada dirinya,” kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tuanku Ja’afar selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif majlis itu semalam.

Kali terakhir pemain badminton diberikan tanggungjawab membawa Jalur Gemilang adalah di Barcelona 1992 dengan Razif Sidek diberikan penghormatan itu.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria pula menyifatkan pemilihan berkenaan sebagai galakan untuk Chong Wei yang akan membuat penampilan terakhirnya di Olimpik.

“Ini kali pertama badminton menyertai semua acara. Jadi saya rasa dia layak mengetuai kontinjen negara,” tambahnya.

MOM juga bersikap terbuka sekiranya ada atlet negara yang tidak menyertai majlis pembukaan nanti.

“Terpulang kepada mereka. Sekiranya merasakan perlu meneruskan latihan dan mampu mencapai tahap terbaik dengan tidak menyertai majlis pembukaan, saya tidak kisah,” kata Tunku Imran.

Sehingga kini 22 atlet sudah melayakkan diri ke Olimpik Rio dengan beberapa sukan masih mengharungi kempen kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 8:31 AM