Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Berdasarkan prestasi semasa Datuk Lee Chong Wei (gambar), pemilihan pemain perseorangan negara itu sebagai pembawa Jalur Gemilang di Sukan Olimpik Rio seharusnya tidak dipertikaikan.

Sebaliknya, ia sebagai pengiktirafan kepada sukan badminton negara selepas kali terakhir pemain dari sukan itu diberi peluang menggalas tugas berkenaan adalah ketika Barcelona 1992 menerusi Datuk Razif Sidek.

Bekas pemenang pingat gangsa di Barcelona, Datuk Seri Jalani Sidek berkata, Chong Wei sememangnya layak dipilih pembawa Jalur Gemilang di Brazil nanti.

Malah pemilihan itu mampu dijadikan pemangkin semangat untuk dia menghadiahkan emas pertama negara di temasya terbesar itu.

“Saya harap pemilihannya mampu menjadi motivasi untuk dia menghadiahkan emas pertama negara.

“Pemilihan pemain badminton ini mampu menjadi pembakar semangat bukan hanya kepada Chong Wei malah generasi muda lain kerana ia ibarat penghormatan besar kepada sukan itu,” katanya.

Acara badminton akan membuka tirai pada 11 Ogos dan memberikan peluang terbaik kepada Chong Wei untuk menyertai upacara pembukaan rasmi yang berlangsung pada 5 Ogos.

Selain Chong Wei, seorang lagi individu penting dalam sukan badminton negara Tan Sri Mohamed Al Amin yang juga Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pula akan mengetuai perarakan kontinjen negara di Rio selaku Chef de Mission negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:10 AM