Madrid: David Moyes (gambar) meneruskan permulaan tanpa kalah di Real Sociedad apabila beliau merehatkan pemain utama ketika seri 0-0 dengan kelab divisyen tiga Real Oviedo pada perlawanan pertama, pusingan pertama Piala Raja Sepanyol, awal pagi semalam.

Moyes mengambil alih tugas jurulatih kelab Basque itu bulan lalu dan beliau sudah mengemudi satu keputusan seri dan satu menang dalam aksi La Liga, selain keputusan seri di Oviedo yang memberikan Sociedad sedikit kelebihan menjelang perlawanan kedua di San Sebastian dalam tempoh dua minggu.

“Kami sedar beraksi di stadium sukar menentang pasukan yang memburu tempat ke divisyen dua,” kata pemain tengah Sociedad, Ruben Pardo.

“Ia pasti perlawanan yang amat menarik di Anoeta dan kami tidak sabar menantinya,” jelasnya.

Villarreal semakin menghampiri pusingan kedua selepas mereka beraksi sembilan pemain, tetapi menang 2-1 ke atas kelab divisyen tiga Cadiz.

Pertahanan Adrian Marin dilayangkan kad merah pada minit ke-59 manakala Israel Puerto terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan ketika Villarreal sudah menggunakan semua tiga pemain gantian. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 8:14 AM