TIMOR Leste sesuaikan diri dengan keadaan  padang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru.
TIMOR Leste sesuaikan diri dengan keadaan padang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru.

Johor Bahru: Ketua jurulatih Timor Leste Fabio Maciel menyifatkan tidak mengalami sebarang tekanan malah bersedia untuk bertemu Harimau Malaysia menjelang aksi play-off kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Beliau menyifatkan Malaysia bakal berdepan tekanan yang lebih hebat berbanding pasukan kendaliannya menjelang aksi itu nanti.

“Pasukan kami mempunyai kualiti tersendiri dan diperkuatkan dengan beberapa pemain naturalisasi. Malah kami juga ada pemain yang turut mendapatkan pengalaman bermain di luar seperti di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Bahrain.

“Bagi saya, perlawanan ini tidak ada bezanya dengan yang lain dan kami sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk mengharunginya.

“Jadi, saya lihat mereka (Harimau Malaysia) akan merasa lebih tertekan walaupun bermain di tempat sendiri kerana mereka bermain di gelanggang dan di depan penyokong sendiri,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu menyaksikan Malaysia mencatat kemenangan 1-0 ke atas Timor Leste pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2018.

Sementara itu, Maciel juga menjangkakan persembahan skuad kebangsaan akan terjejas dengan ketiadaan pemain tengah, Safiq Rahim yang sebelum ini begitu menyerlah mengemudi bahagian tengah.

“Pastinya ketiadaan pemain utama akan menjejaskan aksi Malaysia, namun kami tidak menyediakan strategi khusus untuk mengawal mana-mana pemain dan lebih fokus itu menghadapinya secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata, biarpun kedudukan Timor Leste, satu tangga di belakang Malaysia yang menduduki ranking ke-174, Maciel berpendapat sejarah bola sepak pasukan kebangsaan lebih hebat berbanding pasukannya yang hanya menyertai Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 10 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 9:13 AM