SARIPAH (duduk tengah) bergambar bersama pelajar yang memenangi pingat Kejohanan Tinju MSSNS.
SARIPAH (duduk tengah) bergambar bersama pelajar yang memenangi pingat Kejohanan Tinju MSSNS.

Seremban: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yam Tuan Radin mencipta sejarah apabila 18 daripada 19 petinju meraih pingat biarpun julung kali menyertai kejohanan peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan (MSSNS) di SMK Bukit Mewah di sini, baru-baru ini.

Pengetua SMK Yam Tuan Radin Saripah Mohd Nor berkata, sekolahnya yang mewakili daerah Port Dickson membawa pulang lima emas, lima perak dan lapan gangsa.

Menurutnya, pada awalnya, mereka tidak meletakkan harapan tinggi kerana ini penyertaan pertama sekolah itu dalam acara tinju, selain tiada jurulatih bertauliah.

“Pelajar terpaksa berlatih sendiri dengan pemantauan guru pendidikan jasmani Nor Darlina Idris dan Izza Shamimi Yaacob kerana kami tiada peruntukan untuk mengambil jurulatih bertauliah.

“Mereka berlatih bersungguh-sungguh kerana minat dan berkat tunjuk ajar serta disiplin tinggi kami mendapat emas,” katanya.

Lima petinju yang memenangi emas ialah Muhammad Haziq Haikal Mohamad Zakwan, 14, Syahmi Aiman Mohd Saidi, 16, Aiman Fitry Mohd Yusof (gambar) 16, Amir Asyraf Mohd Khalis, 16 dan Muhammad Alif Iqmal Mohd Faizal, 17.

Saripah berkata, beliau tidak menyangka penyertaan kali pertama membuahkan hasil dan berharap pihak ibu bapa pelajar yang mempunyai kemahiran bertinju tampil membantu mereka berlatih.

“Saya percaya, sekiranya mereka mempunyai jurulatih dan kelengkapan lengkap, pastinya sekolah ini mampu melahirkan lebih ramai atlet sukan tinju sebagai pelapis negeri dan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 8:49 AM