FOTO Farizul Hafiz Awang
FOTO Farizul Hafiz Awang
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas 73,976 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai RM1.48 juta dalam satu serbuan di Pelabuhan Kuantan pada 18 Mei lalu.

Dalam pemeriksaan jam 10.30 pagi itu sepasukan anggota JKDM menemui minuman keras berkenaan yang disimpan di dalam empat kontena.

Pengarah JKDM Pahang Datuk Sarip Ismail berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati kesemua kontena itu menggunakan nama dan alamat sebuah syarikat yang biasa menjalankan urusan pengimportan di negeri ini.

"Sindiket penyeludupan ini amat licik kerana menggunakan nama syarikat pengimportan terkenal bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kita percaya mereka ini sudah lama menggunakan modus operandi ini malah kita juga sudah menyiasat syarikat berkenaan dan dimaklumkan tidak membuat sebarang urusan mengimport barangan berkenaan," katanya dalam sidang media, di sini.

Sarip berkata, rampasan itu adalah terbesar dalam tahun ini dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 3:39 PM