Omar Ahmad

Johor Bahru: Berselindung di sebalik pengimportan alat mainan plastik, dengan sejumlah 22.068 juta batang rokok putih disorokkan dalam kotak di bahagian belakang dua kontena.

Taktik sindiket penyeludupan itu bagaimanapun terbongkar selepas pemeriksaan dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor secara berasingan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di sini.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamed berkata, rokok yang bernilai RM18.5 juta termasuk cukai dirampas bersama alat mainan plastik.

Katanya, kontena pertama disita pada 1.45 petang, 26 Mac lalu yang mengandungi 924 kotak mengandungi 11.088 juta batang rokok putih bersama 36 kotak mainan plastik.

"Kontena kedua pula disita jam 10.50 pagi, 4 April lalu selepas pemeriksaan yang menemukan 915 kotak mengandungi 10.98 juta batang rokok putih dan 33 kotak mainan plastik.

"Sindiket ini dipercayai pihak sama, berselindung di sebalik pelbagai alat mainan plastik yang diletakkan di bahagian depan pintu kontena untuk mengaburi mata penguat kuasa.

"Kotak berisi rokok pula disusun di belakang dan bagi mengelirukan lagi kami, sindiket menggunakan kotak yang sama untuk jenis barang dagangan ini," katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini, semalam.

Menurut Sazali, kedua-dua kontena dipercayai dari Kemboja dan dalam perjalanan ke destinasi akhir iaitu Mexico.

"Sindiket turut membuat pengikraran tidak benar di dalam Borang Kastam 6, dengan hanya mengikrar alat mainan plastik sebagai barang dagangan," katanya yang giat mengesan pemilik dagangan untuk siasatan mengikut Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967.

Sazali Mohamad (tengah), melihat barang rampasan berkaitan kes Sindiket Penyeludupan Minuman Keras di Forest City pada sidang media di Menara Kastam Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Sazali Mohamad (tengah), melihat barang rampasan berkaitan kes Sindiket Penyeludupan Minuman Keras di Forest City pada sidang media di Menara Kastam Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 1:29 PM