ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Proton Saga FLX. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Proton Saga FLX. FOTO ihsan bomba
Norasikin Daineh


DUA maut manakala dua lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki merempuh bas persiaran di kilometer 4, Jalan Papar-Beaufort, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan seorang wanita warga emas berusia 87 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Papar.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman berkata, kemalangan membabitkan bas persiaran dari arah Kota Kinabalu ke Beaufort yang dirempuh di bahagian hadapan oleh Proton Saga FLX yang datang dari arah bertentangan.

"Proton Saga FLX yang dipandu seorang wanita berusia 45 tahun masuk ke laluan bertentangan dan pemandu bascuba mengelak ke bahu jalan sebelah kiri namun berlaku juga perlanggaran sehingga menyebabkan kenderaan mangsa terbakar.

"Hasil bantuan orang awam, kebakaran berjaya dipadamkan sementara menunggu bantuan daripada pihak bomba untuk mengeluarkan tiga lagi penumpang dalam kenderaan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ladamah berkata lagi, dua wanita masing-masing berusia 31 dan 87 tahun dikeluarkan oleh orang awam manakala seorang lagi anak lelaki pemandu berusia tujuh tahun tersepit di bahagian hadapan turut berjaya dikeluarkan pihak bomba.

"Mangsa dikejarkan ke hospital namun meninggal dunia sebaik tiba di unit kecemasan manakala seorang lagi mangsa warga emas disahkan meninggal dunia jam 8.30 malam di hospital sama, " katanya.

Menurut Ladama, kes masih dalam siasatan pihaknya dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil untuk memberikan maklumat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 10:07 PM