SHAMSURI sentiasa sabar melayan dan memberi input kepada minda serta emosi Al-Mushawwir.
SHAMSURI sentiasa sabar melayan dan memberi input kepada minda serta emosi Al-Mushawwir.
Mohd Amin Jalil


Mempunyai anak kelainan upaya (OKU) atau anak syurga adalah satu cabaran hebat buat ibu bapa kerana ia memerlukan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam mendidik serta menjaganya.

Inilah yang dihadapi pasangan guru, Shamsuri Ibrahim, 49, dan isterinya, Rose Abdullah, 48, yang mempunyai seorang anak autisme.

Kedua-dua pasangan itu yang mengajar di sekolah kebangsaan di Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan, mengakui pada awalnya sukar untuk mereka menerima kenyataan apabila diberitahu Al-Mushawwir, 24, mengalami kecacatan ketika berusia dua setengah tahun.

Autisme adalah gangguan psikiatri atau mental yang kompleks dan boleh dikesan sejak kecil. Keadaan ini disebabkan gangguan neurologi yang memberi kesan kepada fungsi otak, perkembangan kemahiran komunikasi dan interaksi sosial. Ia menyebabkan individu autisme menunjukkan kelakuan tidak normal dan sukar untuk berkomunikasi dengan orang lain.

Mereka yang tinggal di Taman Desa Beringin Sikamat Seremban berkata, pelbagai cabaran dihadapi dalam membesarkan anak sulung daripada tiga beradik itu kerana percakapan dan tindakannya yang sukar difahami.

“Biarpun Al-Mushawwir sudah mencecah 24 tahun, sikap dan perangainya seperti kanak-kanak berusia dua tahun,” kata Shamsuri.

Menurutnya, sebagai bapa memanglah impiannya hendak melihat semua anak berjaya dan hidup normal macam orang lain, tapi takdir Allah SWT, tiada siapa yang boleh menduga.

“Ketika kami diberitahu doktor anak menghidap autisme, dunia ini macam nak berakhir. Lama juga saya murung dan sedih memikirkannya kerana keturunan kami tidak ada yang mengalami austime.

“Bagaimanapun, lama-kelamaan kami suami isteri reda dengan ketentuan Allah selepas melihat ramai lagi ibu bapa yang senasib. Mereka secara tidak langsung memulihkan semangat kami untuk menjaga dan mendidik Al-Mushawwir sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di Pusat Taska Autisme Seremban milik Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), di Taman Syahbandar Ampangan Seremban, baru-baru ini.

Menceritakan pengalamannya, Shamsuri berkata ahli keluarga perlu banyak bersabar dan memahami emosi Al-Mushawwir yang hanya ditunjukkan menerusi bahasa tubuh.

“Ia tugas yang mencabar apa lagi saya dan isteri bekerja,” katanya, yang tetap bersyukur kerana dikurniakan anak syurga itu dan memberikan kasih sayang sama rata terhadap semua zuriatnya.

Beliau berkata, anaknya itu berbeza daripada individu lain walaupun sudah dewasa tetapi tingkah laku dan sikapnya seperti kanak-kanak kecil.

“Hampir semua urusan diri Al-Mushawwir perlukan bantuan orang lain. Tapi kami sekeluarga sabar melayannya kerana tahu dia adalah anak istimewa anugerah daripada Allah SWT,” katanya.

Shamsuri akui kesal dengan persepsi segelintir masyarakat yang memandang serong terhadapnya kerana memiliki anak austisme, lebih-lebih lagi ketika membawanya ke majlis tertentu.

“Saya terpaksa membatalkan banyak jemputan kerana tidak mahu anak saya mengganggu jika dibawa ke majlis tertentu,” katanya yang membawa anaknya itu ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban setiap enam bulan sekali bagi rawatan dan mendapatkan ubat penenang.

Sementara itu, penyelia pusat berkenaan, Nur Hafrina Yusop berkata, taska itu kini menempatkan empat individu autisme berusia antara tiga hingga 24 tahun dan menyediakan perkhidmatan pendidikan, terapi dan asuhan.

Sememangnya kesedaran masyarakat terhadap masalah autisme masih rendah. Kita sering memandang serong terhadap orang yang mempunyai ahli keluarga dianggap ‘tidak normal’ tanpa cuba memahami situasi sebenar.

Sebagai anggota masyarakat yang hidup dalam kecanggihan teknologi, sudah sampai masanya kita memanfaatkan kemudahan yang ada ini untuk belajar dan memahami pelbagai masalah berkaitan kesihatan fizikal dan psikiatri. Walaupun ia tidak berlaku dalam keluarga kita, namun dengan adanya ilmu dan kesedaran itu, kita boleh menyelami dan memahami perasaan keluarga yang ada anak autisme, supaya mereka tidak berasa terpinggir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 5:19 AM