Saiful Affendy Sapran

Kunshan, China: Selamat tinggal Piala Thomas. Itu keputusan dilakukan jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei (LCW) yang tidak akan lagi membuat penampilan untuk Malaysia bagi saingan berpasukan itu masa depan.

Jelas pemain ranking kedua dunia itu, meskipun tidak dapat beraksi di pentas final kali ini untuk mengulangi pencapaian dua tahun lalu selepas rebah di tangan Denmark 2-3 pada aksi separuh akhir, Jumaat lalu, dia menerimanya dengan hati terbuka.

“Ini Piala Thomas terakhir saya. Secara keseluruhan setiap pemain sudah bermain sebaik mungkin.

“Tapi, akhirnya kita kalah di separuh akhir. Kita perlu terima kekalahan ini.

“Rasa kecewa itu memang ada sebab sudah mendahului 2-0, tapi kita tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

Keputusan Chong Wei itu bermakna, jaguh berusia 34 tahun itu tidak dapat menjulang Piala Thomas sepanjang kariernya sejak mewakili negara buat kali pertama pada 2004.

Tegas Chong Wei, dia sama sekali tidak mahu menuding jari kepada sesiapa berikutan kekalahan kepada Denmark di separuh akhir.

“Ini acara berpasukan, kita tidak boleh salahkan sesiapa. Kita menang sebagai satu pasukan, kita kalah pun sebagai satu pasukan,” katanya.

Chong Wei berharap barisan pemain muda negara yang bakal menggalas tugas pada edisi Piala Thomas dua tahun lagi dapat memberikan aksi terbaik.

“Beberapa pemain remaja seperti Iskandar (Zulkarnain Zainuddin) dan Goh Soon Huat akan galas tugas selaku wakil negara di Piala Thomas akan datang.

“Harap mereka dapat mempelajari banyak perkara pada saingan kali ini untuk Piala Thomas akan datang. Ia pendedahan bagus untuk mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:06 AM