HYERI
HYERI
Amirul Haswendy Ashari


Mula-mula Hyeri dari kumpulan Girl’s Day menceburi bidang lakonan dan kini giliran Minah apabila tampil menerusi lakonan sulungnya dalam drama Beautiful Gong Shim.

Hyeri yang sebelum ini mendapat sokongan padu daripada peminat susulan wataknya sebagai protagonis dalam drama Entertainer, memuji Minah. Dalam drama itu, Minah memegang watak utama protagonis dan ia turut disiarkan di saluran SBS.

Hyeri akui belum berkesempatan menonton siaran asal Beautiful Gong Shim yang dilakonkan Minah sebab sibuk dengan penggambaran Entertainer.

Katanya, dia gembira apabila mendengar banyak maklum balas hebat daripada penonton melalui artikel yang dibacanya.

“Saya sangat gembira sebaik saja membaca banyak artikel memuji lakonan Minah. Pertama sekali, saya ucapkan terima kasih kerana mengirimkan sokongan kepadanya dan berharap pihak produksi akan melakukan yang terbaik sehingga habis penggambaran,” katanya.

Girl’s Day ditubuhkan pada 2010, kini tinggal berempat, Sojin, Minah, Yura dan Hyeri. Mereka menghasilkan dua album Korea, Expectation pada 2013 dan Love (2015) serta satu album Jepun, Girl’s Day 2015 Autumn Party (2015).

Sebelum ini, Minah turut meluahkan sokongannya kepada Hyeri ketika sidang media drama lakonannya.

Katanya, dia bangga kerana dapat membawa watak wanita protagonis bersama-sama Hyeri dan gembira kerana segala-galanya dipermudahkan buat temannya dari Girl’s Day itu.

Wakil syarikat produksi SBS dilaporkan berkata, bukan perkara biasa melihat dua anggota dari kumpulan sama berlakon pada masa sama memegang watak protagonis dalam dua drama yang disiarkan syarikat penyiaran sama.

“Malah kedua-dua karakter mereka disukai dan memberi harapan kepada penonton untuk terus menyukainya,” kata wakil itu.

Sebelum ini, Hyeri dilaporkan mendapat sokongan luar biasa daripada peminat dari benua Arab dek lakonannya dalam drama Entertainer.

Hal itu diketahui selepas Hyeri memuat naik foto trak kopi yang dihantar ke lokasi penggambaran drama oleh peminat dari benua itu awal Mei ini.

Pada foto itu, dia juga menunjukkan beberapa nama peminat Arab yang turut menyertakan nama mereka di trak itu.

Perkembangan lain, Hyeri mengungkapkan kesedihannya selepas rakan pelakonnya, Choi Sung Won didiagnosis menghidap penyakit Leukemia.

Perkara itu diketahui Hyeri selepas Sung Won terpaksa meninggalkan set penggambaran drama Witch Exemplar untuk mendapatkan rawatan di hospital pada 9 Mei lalu.

Sung Won ialah aktor yang memegang watak adik kepada karakter dipegang Hyeri dalam drama Reply 1988.

Ketika hadir ke sidang media drama terbarunya, Ddanddara, Hyeri meluahkan rasa sedihnya selepas mendapat khabar mengenai teman pelakonnya.

“Sung Won periang dan baik hati. Saya berharap dia dapat melawan penyakitnya dan kembali sihat seperti sedia kala, sekali gus menghiburkan semua semula.

“Saya tahu ia akan menjadi tanggungjawab saya juga untuk memberi sokongan. Saya mahu dia tahu, kami akan sentiasa berada di sisinya dan terus memberi sokongan tanpa henti,” katanya sambil menangis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:03 AM