ANGGOTA Girl’s Day, Hyeri berdepan kesulitan pertahan hak kerana tidak fasih berbahasa Inggeris
ANGGOTA Girl’s Day, Hyeri berdepan kesulitan pertahan hak kerana tidak fasih berbahasa Inggeris

ANNYEONGHASEYO! Penyanyi Hyeri berkongsi kekecewaannya terhadap pengurusan sebuah syarikat penerbangan antarabangsa dalam satu insiden baru-baru ini.

Menurut anggota Girl's Day itu, dia pelik apabila dua tiket penerbangannya tiba-tiba diturun taraf daripada kelas pertama kepada ekonomi.

Lebih mengecewakan, dia tidak mendapat bantuan sebaiknya untuk mencari jalan penyelesaian terbaik membabitkan pertukaran mengejut itu.

"Saya sudah membuat tempahan sejak sebulan setengah yang lalu. Bahkan saya membeli tempat duduk khas sejak awal. Tapi mereka turunkan taraf saya ke kelas ekonomi dengan alasan kelas pertama sudah penuh.

"Syarikat penerbangan itu menyuruh saya menaiki penerbangan seterusnya kalau tidak suka dengan tempat duduk itu (kelas ekonomi). Mereka bahkan tidak mahu pulangkan semula wang saya," katanya.

Hyeri akui rasa pelik kerana kedua tiket penerbangan yang ditempahnya diturun taraf sekali. Menurutnya pertukaran atau kejadian sebegitu adalah perkara yang tidak pernah didengarnya.

Penyanyi itu juga menyatakan kekesalannya tidak mampu bertutur fasih dalam bahasa Inggeris. Justeru, kekangan itu mengehadkan komunikasinya untuk pertahankan diri dengan layanan tidak adil itu.

"Saya tempah dua tempat duduk, macam mana keduanya boleh diturun taraf? Banyak sebenarnya saya nak cakap tapi tak dapat luahkan dengan cukup baik.

"Ketika itu jugalah saya berfikir kalaulah saya mendalami bahasa Inggeris dengan lebih fasih. Pengalaman yang cukup mengecewakan," katanya.

Disebabkan perkongsiannya itu, ramai peminat tertanya-tanya sekiranya insiden terbabit berlaku di luar Korea Selatan. Hyeri merungkai teka-teki berkenaan dan mengiyakannya.

"Bukan penerbangan domestik. Saya harap tiada berlaku apa-apa salah faham," katanya.

Menerusi hantaran foto tiket penerbangannya, syarikat dimaksudkan itu adalah Delta Airlines meskipun namanya cuma kelihatan separuh saja. Penerbangan terbabit adalah milik Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 6:48 AM