ROSSI merai kejayaan memperolehi petak pertama pada sesi kelayakan MotoGP Itali di Litar Mugello, hari ini. FOTO AFP
ROSSI merai kejayaan memperolehi petak pertama pada sesi kelayakan MotoGP Itali di Litar Mugello, hari ini. FOTO AFP
Agensi

BINTANG motosikal Itali Valentino Rossi kembali meraih petak pertama selepas setahun setengah dengan rekod baru trek pada MotoGP Itali, hari ini.

Pelumba Yamaha itu mencatat masa terbaik satu minit 46.208 saat di litar Mugello yang meletakkannya di depan dua pelumba Sepanyol iaitu penunggang Ducati Jorge Lorenzo yang ketinggalan 0.035s, dan rakan sepasukannya Maverick Vinales, yang ketinggalan 0:096s melengkapkan barisan pertama untuk perlumbaan esok.

Petak pertama itu adalah yang pertama buat bekas juara dunia tujuh kali MotoGP berusia 39 tahun itu sejak Grand Prix Jepun pada Oktober 2016.

“Saya sangat gembira, ia satu kejutan,” kata Rossi, yang kejayaannya itu disambut gembira ribuan penyokong di litar di mana dia menjuarai MotoGP tujuh tahun berturut-turut dari 2002 hingga 2008.

“Pasa sesi latihan bebas terakhir, kami mencuba tayar keras tetapi saya menghadapi masalah, kerana tayar sederhana jauh lebih baik, keadaan motosikal juga baik dan apabila saya melihat catatan 1'46.2, saya terfikir ia mungkin sesuatu yang sungguh emosional.

“Esok mungkin lebih sukar tetapi saya mahu menikmati pencapaian hari ini.”

Rossi memadamkan rekod baru 0.231s yang dicapai awal hari itu oleh juara dunia Sepanyol Marc Marquez dari Honda.

Pendahulu kejuaraan Marquez akan memulakan perlumbaan dari petak keenam dengan pelumba Itali Andrea Iannone (Suzuki) dan Danilo Petrucci (Ducati) masing-masing di petak keempat dan kelima.

Pelumba Ducati dari Itali Andrea Dovizioso, yang menang tahun lalu di Mugello, bermula di petak ketujuh. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 10:39 PM