Norul Awatif Romli


Alor Setar: Penjaga gol pasukan Futsal Kedah, Muhamad Azri Zakaria dilaporkan kritikal selepas terbabit dalam kejadian langgar lari ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di sini, pagi tadi.

Jurulatihnya, Mohd Saiful Md Noor ketika dihubungi berkata, mangsa berusia 30 tahun dan bekerja sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Pergigian Daerah Kota Setar dikatakan menunggang motosikal dari rumahnya di Taman Aman, Anak Bukit sebelum dilanggar kenderaan lain yang belum dikenal pasti kira-kira 8 pagi tadi.

"Mangsa kini masih dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana tidak sedarkan diri.

"Doktor memaklumkan kepada ahli keluarganya dan kami mangsa mengalami pendarahan dalam kepala, retak tulang tengkuk dan luka di seluruh badan," katanya.

Katanya, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta supaya tampil membuat laporan polis di balai polis berdekatan.

"Difahamkan juga, sehingga kini suspek yang melanggar mangsa tidak membuat laporan polis dan kita berharap dia (suspek) bertanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 5:25 PM