FIEYNA
FIEYNA
Syafil Syazwan Jefri


Tugasan sebagai pelakon tambahan memberikan pelbagai pengalaman buat pelakon, Farhina Tajudin (Fieyna) dan dia yakin suatu hari nanti pasti akan dikenali ramai.

“Ada beberapa drama lakonan saya yang mendapat perhatian antaranya Memori Cinta Suraya, Menongkah Kasih, Tersuka Tanpa Sengaja dan Cinta Teruna Kimchi.

“Walaupun hanya sebagai pelakon tambahan, banyak juga pengalaman saya dapat dan digunakan dalam membantu meningkatkan lakonan,” katanya.

Tambah Fieyna, dia bersyukur kerana sepanjang pengalamannya bekerja dengan pelakon profesional lain, mereka tidak kedekut untuk berkongsi ilmu.

“Ramai juga pelakon yang saya temui sudi berkongsi pelbagai tip dan teknik berlakon. Saya juga banyak melihat lakonan mereka dan jadikan ia sebagai pelajaran untuk memperbaiki lakonan saya.

“Pengarah dan kru juga banyak membantu dalam kerjaya dan saya sangat selesa berada di set,” katanya.

Selain sibuk sebagai pelakon drama, wajah Fieyna juga kerap kali dilihat menghiasi beberapa iklan jenama terkemuka.

“Menjelang Aidilfitri, banyak juga iklan yang akan menampilkan saya. Alhamdulillah, rezeki untuk iklan tidak pernah putus,” katanya.

Terbaru, Fieyna kini bakal memulakan latihan untuk filem pertama lakonannya berjudul Putera Makassar.

“Ia adalah filem epik arahan Ghaz Abu Bakar. Menjelang Julai, saya akan memulakan latihan dan Oktober, penggambaran Putera Makassar akan bermula.

“Untuk filem itu, memerlukan saya melakukan aksi bersilat. Mujur ketika remaja, saya pernah belajar asas ilmu persilatan, jadi ada beberapa gerakan yang masih saya ingat,” katanya.

Dalam filem itu nanti, dia akan bergandingan dengan beberapa nama besar antaranya Shaheizy Sam, Izara Aishah dan Wan Raja.

Berkongsi minatnya dalam lakonan, Fieyna menamakan Elly Suriati, Kajol dan Bront Palarae sebagai idolanya.

“Banyak juga filem Hollywood yang menjadi rujukan saya dan beberapa filem tempatan.

“Saya gemarkan filem yang berat kerana ia genre yang sangat mencabar semua pelakon,” katanya.

Fieyna berharap kehadirannya dapat menambah warna dalam industri seni tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 10:36 AM