Bangkok: Ketua tentera Thai berkata, keadaan di wilayah selatan negara itu di bawah kawalan.

Udomdej Sitabutr (gambar) yang juga Timbalan Menteri Pertahanan memberitahu mesyuarat Kabinet di Bangkok, beberapa kumpulan pemisah cuba mengucar-kacirkan keadaan setiap kerajaan mencapai kemajuan dalam usaha untuk mewujudkan keamanan di wilayah itu.

Dia tidak yakin usaha seperti itu akan membawa kesan mendalam.

Udomdej berkata demikian sebagai menjawab soalah mengenai beberapa perbuatan membakar dan serangan bom dan peningkatan jumlah sepanduk antikerajaan di Yala, Pattani dan Narathiwat kelmarin ketika Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha melawat Malaysia untuk berbincang mengenai persediaan bagi menyambung semula rundingan damai di wilayah terbabit.

Menurut Udomdej, keganasan di selatan Thai sudah berkurangan sejak Oktober tahun lalu dan dia yakin kerajaan dapat mengawal keadaan sepenuhnya apabila lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan rakyat.

Sementara itu, Setiausaha Agung Keselamatan Kebangsaan Anusit Kunakorn berkata, Malaysia memainkan peranan positif dan ikhlas dalam membantu rundingan damai berkenaan.

Menurutnya, rundingan itu hanya antara kerajaan Thai dengan wakil pemisah sementara Malaysia hanya memainkan peranan selaku fasilitator. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 7:28 AM