Ular tedung selar sepanjang lima meter dan seberat 15 kilogram yang berjaya ditangkap anggota JPAM Padang Terap di sebuah rumah di Kampung Nako Nambua, Kuala Nerang, pagi tadi. - Foto RAHMAT OTHMAN
Ular tedung selar sepanjang lima meter dan seberat 15 kilogram yang berjaya ditangkap anggota JPAM Padang Terap di sebuah rumah di Kampung Nako Nambua, Kuala Nerang, pagi tadi. - Foto RAHMAT OTHMAN
Zuliaty Zulkiffli


Kuala Nerang: Seekor ular tedung selar sepanjang lima meter dan seberat 15 kilogram berjaya ditangkap anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Padang Terap di sebuah rumah di Kampung Nako Nambua, Kuala Nerang, di sini, pagi tadi.

Kehadiran reptilia itu disedari pemilik rumah yang berusia 50-an kira-kira jam 7 pagi ketika sedang bersiap ke kebun.

Ketua Skuad JPAM Padang Terap Mohd Khairi Che Kamil berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.14 pagi dan tiga anggota tiba di lokasi 13 minit kemudian.

Beliau berkata, mereka mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap reptilia itu yang agresif dan cuba mematuk anggotanya.

"Ular tedung selar ini mungkin tersesat atau mencari tempat perlindungan disebabkan suhu panas sekarang.

"Anggota kami menggunakan penyepit dan penjerut untuk menangkap ular berkenaan sebelum dibawa pulang ke pejabat JPAM Padang Terap untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 7:46 PM