RODIYAH menyusun belacan yang dijemur di perkarangan rumahnya. FOTO Noorazura Abdul Rahman
RODIYAH menyusun belacan yang dijemur di perkarangan rumahnya. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


DUA puluh satu tahun lalu, niatnya hanya sekadar membantu suami menambah pendapatan dengan membuat dan menjual belacan secara kecil-kecilan sekitar rumah di Kampung Alor Ibus, Kuala Kedah.

Namun siapa sangka, perniagaan Rodiyah Hashim, 55, kini mengubah nasibnya dan keluarga.

Bermodalkan RM2,000 hasil pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), ibu kepada lapan orang anak ini sudah berjaya mencapai jualan belacan sehingga RM30,000 sebulan.

Menurut Rodiyah, dia pada mulanya hanya menghasilkan 100 biji belacan dan dijual kepada kenalan terdekat terlebih dahulu.

Katanya, ketika itu, suami, Sudin Bakar, 55, masih bekerja sebagai pemandu treler, jadi dia terpaksa menguruskan anak dan perniagaan serentak.

“Anak masih kecil. Bermula daripada menjemur udang sehinggalah menggaul dan menumbuk saya lakukan dengan kudrat sendiri.

“Saya tidak mengenal erti putus asa mempromosikan belacan saya menerusi mulut ke mulut dan sehingga kini saya tidak nafikan internet banyak membantu untuk memasarkan produk kami sehingga ke seluruh negara,” katanya kepada Harian Metro.

PEKERJA Rodiyah menjemur belacan untuk dikeringkan. FOTO Noorazura Abdul Rahman
PEKERJA Rodiyah menjemur belacan untuk dikeringkan. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Rodiyah berkata, untuk menjadikan belacan yang sedap dan berkualiti, udang geragau perlu dibersihkan dan dikeringkan dengan betul.

“Setiap bulan, saya memerlukan 4,000 kilogram udang geragau yang ditempah dari Kuala Selangor.

“Setiap hari saya perlu menghasilkan 1,000 ketul belacan pelbagai saiz bagi memenuhi permintaan, ia dijual dengan harga bermula 80 sen sehingga RM5,” katanya yang kini sudah mempunyai 10 pekerja.

Sejak 2006, suami Rodiyah tekad berhenti kerja bagi membantunya menjalankan perniagaan itu dan kini belacan menjadi sumber pendapatan keluarga mereka.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Rodiyah berhasrat membina tempat jemuran baharu di hadapan rumahnya, selain menggiatkan promosi di media sosial.

Katanya, walaupun perlu bersaing dengan tujuh pengusaha belacan di kampung itu, namun dia yakin dengan rezeki masing-masing.

“Rezeki itu hak Allah, kita tak perlu bimbang asalkan setiap pekerjaan yang dilakukan ikhlas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 3:14 PM