ARIF Aiman meraikan jaringan tunggal yang membantu JDT mara ke suku akhir Piala Malaysia. FOTO Bernama
ARIF Aiman meraikan jaringan tunggal yang membantu JDT mara ke suku akhir Piala Malaysia. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dipaksa bermandi peluh sebelum melangkah ke saingan suku akhir selepas menang tipis 1-0 menewaskan pendatang baharu kancah Piala Malaysia, Kuching FA pada aksi pusingan 16 kalah mati di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Jaringan tunggal pemain muda Arif Aiman Mohd Hanafi menjadi penyelamat skuad Harimau Selatan untuk mara ke saingan suku akhir dan akan berdepan Kuala Lumpur di laman sendiri pada 12 November ini.

Apapun, bibit-bibit memburu kemenangan JDT bermula seawal minit ketiga, selepas mengundang cemas benteng pelawat apabila sepakan lintang Arif Aiman tepat ke kaki Gonzalo Cabrera namun bola rembatan pemain dari Argentina itu melewati palang gol.

Skuad Harimau Selatan yang menguasai perlawanan sejak minit pertama akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-19 hasil bola umpanan Natxo Insa menyaksikan Diogo Luis Santo sempat mendada bola memberi peluang Arif Aiman yang tidak dikawal merembat bola leret menewaskan penjaga gol, Mohd Iqbal Mohd Suhimi.

Arif Aiman hampir mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-35 selepas bertindak berani menyusup masuk ke dalam kotak penalti pelawat namun bola rembatan leret tidak mampu menewaskan Mohd Iqbal yang sudah bersedia menangkap bola.

Bersambung babak kedua, tuan rumah menggandakan asakan untuk memburu gol kedua namun benteng pelawat tampak kental apabila bertindak menghalang gerakan berbahaya menerusi gandingan Cabrera dan Luis Santo.

Agak malang apabila Luis Santo gagal menambah jaringan pada mini ke-53 selepas bola sepakan leret hasil umpanan Cabrera sempat ditangkap kemas Mohd Iqbal bagi memastikan gawangnya tidak dibolosi.

Walaupun sering diasak, anak didik Akira Higashiyama tampak berusaha menggempur benteng tuan rumah dalam usaha memburu gol penyamaan tapi gagal untuk melepasi gandingan Mauricio Dos Santos dan kapten Aidil Zafuan Abd Radzak.

Malah bola tandukan pemain gantian, Ramadhan Saifullah Usman tatkala aksi berbaki tiga minit untuk ditamatkan sekadar sipi dari gawang gol dan kedudukan 1-0 yang memihak JDT kekal hingga perlawanan berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 11:23 PM