KOMUNIKASI antara kunci paling penting menangani apa juga masalah perhubungan.
KOMUNIKASI antara kunci paling penting menangani apa juga masalah perhubungan.
KURANG keyakinan dalam kalangan lelaki alami ED jadi halangan untuk mereka berjumpa doktor.
KURANG keyakinan dalam kalangan lelaki alami ED jadi halangan untuk mereka berjumpa doktor.
PAPI Zak (kanan) bersama (dari kiri) Harith, Dr Jezamine dan Dr Zulkifli.
PAPI Zak (kanan) bersama (dari kiri) Harith, Dr Jezamine dan Dr Zulkifli.

Komitmen, antara perkara paling penting dalam membina sebuah keluarga bahagia kerana janji yang diikrar antara pasangan suami isteri untuk tetap bersama dalam keadaan suka duka, gembira mahupun sengsara bukan saja memerlukan rasa tanggungjawab malah lebih daripada itu.

Apabila menyentuh aspek melangkah ke alam perkahwinan, pastinya setiap pasangan berjanji untuk mencintai, menghormati dan menghargai satu sama lain sehingga ke hujung nyawa menyaksikan ikrar dilafaz sebagai asas sebuah perkahwinan yang kukuh.

Sebagai usaha berterusan untuk mewujudkan kesedaran mengenai disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk dan mengetengahkan kepentingan komunikasi terbuka dalam perkahwinan, Pfizer Malaysia baru-baru ini menganjurkan perbincangan mengenai topik yang cukup sensitif melalui program hiburan kesedaran penyakit ‘The Entertainment Show with Papi Zak, Couple ED-ucation’.

Acara bual bicara itu anjuran kali pertama seumpamanya yang menampilkan kesedaran mengenai penyakit, temu bual dengan pasangan selebriti dan beberapa permainan selain sesi perbincangan yang menarik serta menghiburkan.

Selaku hos program bual bicara, pelawak terkenal tempatan, Papi Zak mencuit hati penonton dengan mendekati topik ini secara terbuka tetapi lucu dan bersahaja sambil berinteraksi dengan panel jemputan.

Panel yang dijemput untuk membincangkan topik itu ialah Timbalan Dekan dan Pengarah Pembangunan Sumber Manusia dan Perunding Kanan Urologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Zulkifli Md Zainuddin, selain pasangan selebriti serta pelawak terkenal tanah air, Harith Iskandar dan isteri Dr Jezamine.

Dalam perbincangan itu, Dr Zulkifli berkongsi pengalamannya selama beberapa tahun menjadi perunding kepada pasangan yang menghadapi masalah ED hingga membawa kepada masalah komunikasi serta pelbagai masalah lain.

Menurutnya, sebagai perunding urologi, dia bertemu ramai pesakit yang mengalami ED hingga membawa kepada masalah hubungan rumah tangga dan rasa tidak puas hati kerana gagal meluahkan masalah itu.

“Perasaan kurang yakin yang dialami lelaki yang mengalami ED menjadi satu halangan untuk mereka berjumpa doktor dan pada pandangan saya, di sinilah peranan pasangan amat diperlukan.

“Dengan memberi sokongan dan galakan, anda boleh membantu pasangan mencari keberanian yang diperlukan untuk berjumpa doktor dan menangani masalah yang dihadapi,” katanya.

Menurutnya, setiap individu perlu sedar ED antara cara badan memberitahu ada sesuatu yang tidak kena.

“ED sering menjadi permulaan kepada masalah kesihatan yang lain seperti penyakit kardiovaskular. Justeru, penting untuk seorang lelaki mengetahui mereka boleh mendekati saluran rundingan yang betul dalam menangani masalah kesihatan mereka.

“Berdasarkan pengalaman saya, pasangan mereka adalah kunci utama dalam menggalakkan mereka untuk mendapatkan rawatan tepat daripada saluran yang betul.

“Kita perlu melihatnya bukan daripada perspektif penyakit orang berumur sebaliknya penyakit gaya hidup supaya lelaki tidak berasa dihakimi dan akan menjadi lebih terbuka untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Pasangan terkenal, Harith Iskandar dan isteri Dr Jezamine turut berkongsi tip mengenai kepentingan mengekalkan hubungan yang sihat dengan mengamalkan komunikasi terbuka.

Dengan rutin kehidupan mereka yang sibuk, Harith berkongsi cara dirinya dan isteri menjadikan hubungan mereka sebagai satu keutamaan.

“Punca salah faham yang paling biasa berlaku dalam mana-mana perhubungan selalunya disebabkan perkara remeh kerana manusia sebenarnya tidak menyedari betapa sedikitnya mereka berkomunikasi.

“Dalam kata lain, individu sering berfikir dia sudah banyak bercakap tetapi sebenarnya tidak. Dalam dunia kini, kita sering diganggu oleh gajet, janji temu dan gaya hidup terkini sehingga kita lupa betapa mudahnya untuk berhubung dengan seseorang terutama individu yang rapat,” kata Harith.

Tambahnya, berbual serta sering meluangkan masa bersama pasangan serta anak pasti dapat membantu dalam menangani pelbagai masalah dalam keluarga. - Siti Nadirah Hafidzin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 5:00 AM