KAPAR 25 MARCH 2016. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat (dua kiri) memeriksa barisan kawad di Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-209 di Balai Polis Kapar. NSTP/ ROSLIN MAT TAHIR.
KAPAR 25 MARCH 2016. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat (dua kiri) memeriksa barisan kawad di Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-209 di Balai Polis Kapar. NSTP/ ROSLIN MAT TAHIR.
Norizuan Shamsuddin

Petaling Jaya: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak teragak-agak mengenakan tindakan mahkamah terhadap dua anggotanya yang ditahan kerja selepas dikatakan membebaskan suspek perogol di Sungai Pelong, Sungai Buloh, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar, berkata pihaknya turut membuka kertas siasatan terhadap dua anggota berkenaan berhubung kes itu.

Katanya, dua anggota terbabit kini ditahan kerja untuk tindakan tatatertib sementara siasatan dijalankan.

"Polis sedang mengesan suspek (perogol) dan InsyaAllah kita akan tangkap dalam masa terdekat ini.

"Dua anggota sudah ditahan kerja dan kita akan teruskan siasatan terhadap mereka, mengapa mereka bertindak begitu.

"Kita juga ada buka kertas siasatan terhadap mereka dan sekiranya didapati ini adalah kesalahan mereka, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan," katanya selepas merasmikan program Go Green, di Hutan Pendidikan Bukit Gasing, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1 pagi itu, mangsa kanak-kanak berusia empat tahun dikatakan dirogol lelaki dipercayai warga asing.

Suspek kemudian ditahan orang ramai sebelum dibawa ke Balai Polis Sungai Pelong oleh dua anggota kereta peronda polis terbabit.

Bagaimanapun, dua anggota polis berkenaan dikatakan telah membuat keputusan sendiri dengan membebaskan suspek disebabkan ibu mangsa enggan membuat laporan polis kerana mereka adalah warga asing dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 2:54 PM