Shafie (baju hijau) dan Mohd Nazlee (baju hitam) mengaku tidak bersalah atas tuduhan melepaskan suspek kes rogol kanak-kanak berusia empat tahun dua minggu lalu. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Shafie (baju hijau) dan Mohd Nazlee (baju hitam) mengaku tidak bersalah atas tuduhan melepaskan suspek kes rogol kanak-kanak berusia empat tahun dua minggu lalu. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan melepaskan suspek kes rogol kanak-kanak berusia empat tahun di Sungai Buloh, dua minggu lalu.

Tertuduh, Lans Koperal Shafie Sudirman, 31, dan Lans Koperal Mohd Nazlee Mohamad Yusof, 38, masing-masing membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bekerja sebagai penjawat awam yang terikat disisi undang-undang untuk menangkap Koew Tourn, warga Kemboja, dengan sengaja meninggalkan suspek daripada menangkapnya.

Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Sungai Pelong, Sungai Buloh, kira-kira jam 5 pagi pada 14 April lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 221 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun beserta denda atau tidak.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurulhuda Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Mahkamah membenarkan setiap seorang tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang jamin dan menetapkan 25 Mei ini bagai sebutan semula kes.

Pada 14 April lalu, dua anggota terbabit didakwa melepaskan suspek selepas ibu mangsa enggan membuat laporan polis kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 1:41 PM