GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Sungai Buloh: Dua anggota polis yang dikatakan membebaskan suspek perogol di Sungai Pelong, di sini, Khamis lalu ditahan kerja serta merta sementara siasatan selesai dilakukan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana melepaskan orang tahanan.

"Saya memberi jaminan yang siasatan berhubung perkara ini sedang dijalankan secara telus dan teliti. Tiada mana-mana individu yang terbabit dalam kes ini akan dilindungi termasuk dua anggota polis berkenaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam kejadian 1 pagi itu, mangsa kanak-kanak berusia empat tahun dikatakan dirogol lelaki dipercayai warga asing.

Suspek kemudian ditahan orang ramai sebelum dibawa ke Balai Polis Sungai Pelong oleh dua anggota kereta peronda polis terbabit.

Bagaimanapun, dua anggota polis berkenaan dikatakan telah membuat keputusan sendiri dengan membebaskan suspek disebabkan ibu mangsa enggan membuat laporan polis kerana mereka adalah warga asing dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Abdul Samah berkata, bagaimanapun satu laporan polis dibuat doktor hospital kerajaan pada hari yang sama selepas memeriksa mangsa yang dibawa ibunya untuk menerima rawatan apabila mengadu mengalami kesakitan pada kemaluannya.

"Polis memandang serius perbuatan salah dua anggota ini dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan perbuatan yang mencalar kredibiliti, imej dan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM," katanya.

Justeru, orang ramai diminta menghentikan spekulasi mengenai kes itu yang turut menjadi viral di laman sosial Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 1:14 AM