Lipan Bara, kereta perisai mobiliti tinggi (HMAV) 4x4 yang dikeluarkan  DEFTECH dipamerkan di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di PWTC, Kuala Lumpur . - Foto AIZUDDIN SAAD
Lipan Bara, kereta perisai mobiliti tinggi (HMAV) 4x4 yang dikeluarkan DEFTECH dipamerkan di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di PWTC, Kuala Lumpur . - Foto AIZUDDIN SAAD
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lipan Bara, kereta perisai mobiliti tinggi (HMAV) 4x4, mempunyai potensi eksport ke negara ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), menurut DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH).

Ketua Pegawai Eksekutif DEFTECH Lt Kol Datuk Amril Samsudin berkata terdapat banyak pertanyaan untuk HMAV dari Arab Saudi di Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016.

"Kami akan memperkenalkan 'Lipan Bara' ke pasaran lain sebaik ia sedia digunakan.

"Ia perlu digunakan dahulu oleh tentera Malaysia," katanya selepas perasmian HMAV di sini, hari ini.

Nama rasmi HMAV (Lipan Bara) dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di ruang pameran syarikat itu di DSA 2016.

Lipan Bara adalah projek usaha sama DEFTECH dan Chaiseri Metal & Rubber Co Ltd, Thailand, dengan berkongsi hak harta intelek 50:50 antara kedua-dua syarikat.

“DEFTECH diberi kontrak oleh kerajaan untuk menyediakan 20 unit Lipan Bara bernilai RM140.98 juta pada 7 Julai, 2015.

"Unit pertama Lipan Bara dijangka diserah kepada tentera Malaysia pada Mei, enam unit lagi pada November dan bakinya antara April dan Jun tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 9:16 PM