Laporan portal berita Harian Metro hari ini.
Laporan portal berita Harian Metro hari ini.
BERNAMA

DRB-Hicom Bhd hari ini mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan ke atas anak syarikatnya, Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech).

Dalam kenyataan hari ini, DRB-Hicom juga berkata, pihaknya dan Deftech akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan perkara itu.

Deftech adalah syarikat 100 peratus milik DRB-Hicom yang menjalankan aktiviti membuat, memasang dan membekal antaranya kenderaan tentera dan komersial.

Sumber SPRM hari ini menyatakan CEO bergelar Datuk bersama CFO berkenaan disyaki menerima wang suapan membabitkan projek pembekalan peralatan kenderaan itu bernilai lebih RM17 juta.

Kedua-dua suspek itu direman empat hari sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.

“CEO lelaki berusia 45 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya 10 malam tadi.

“Wanita berusia 53 tahun menjawat jawatan CFO itu pula ditahan 11.50 malam tadi di lokasi sama ketika hadir memberi keterangan,” kata sumber itu lagi.

Menurut sumber itu, kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah ratusan ribu ringgit daripada beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kereta perisai AV8 dan Adnan antara 2014 sehingga 2017.

Berita berkaitan

CEO, CFO ditahan SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 10:10 PM