Ganja seberat 520 kilogram dibawa rakyat Malaysia disembunyikan dalam perabot dalam trak dipandunya yang ditahan di pusat pemeriksaan Imigresen Danok, hari ini.  - Foto Bernama
Ganja seberat 520 kilogram dibawa rakyat Malaysia disembunyikan dalam perabot dalam trak dipandunya yang ditahan di pusat pemeriksaan Imigresen Danok, hari ini. - Foto Bernama
BERNAMA

Songkla: Seorang rakyat Malaysia ditahan bersama 520 kilogram ganja yang disembunyikan dalam perabot yang dimuatkan dalam trak dipandunya di pusat pemeriksaan Imigresen Danok hari ini.

Ketua Tentera Infantri Ke-5 Kolonel Paisan Nusang berkata, lelaki itu mendakwa dia diupah RM1,000 untuk membawa dadah terbabit ke Kuala Lumpur.

"Hasil pemeriksaan terhadap trak terbabit, pihak berkuasa menemui 520kg dadah dalam 29 bungkusan dianggar bernilai 15.6 juta baht (RM150,000)," katanya hari ini.

Menurutnya lelaki itu mendakwa dia diupah pengedar dadah Malaysia untuk mengambil dadah berkenaan dari Hatyai dan menyeludupnya masuk ke Malaysia untuk dihantar ke Kuala Lumpur.

Lelaki itu akan dihadapkan ke Mahkamah Songkhla tidak lama lagi.

Paisan berkata pihak berkuasa Thailand akan meneruskan siasatan mereka bagi mengenal pasti sindiket dadah yang bertanggungjawab dalam kes penyeludupan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 8:48 PM