FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap

Bahau: Tiga lelaki ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Islam (JHEAINS) dalam operasi bersepadu di pusat hiburan di bandar ini, malam tadi.

Pusat hiburan itu adalah antara 21 premis diperiksa termasuk rumah urut dan hotel bajet dalam operasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, Majlis Daerah Jempol dan JHEAINS, antara 10 malam hingga 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata 48 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan di 14 premis perjudian mendapati ia ditutup malah pusat urut dan hotel bajet juga tiada pelayan pelanggan serta pelanggan.

“Mereka seolah-olah sudah tahu pihak berkuasa hendak serbu. Hanya tiga lelaki Islam ditahan JHEAINS kerana disyaki minum arak.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 78 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pihaknya akan terus mengadakan operasi dari semasa ke semasa untuk memerangi kegiatan tidak bermoral di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 12:37 PM