Penguat kuasa MPS melakukan pemeriksaan di pusat urut dalam Ops Bersepadu malam tadi. FOTO Ihsan MPS
Penguat kuasa MPS melakukan pemeriksaan di pusat urut dalam Ops Bersepadu malam tadi. FOTO Ihsan MPS
Hasbi Sidek


DUA pelanggan lelaki yang leka diurut wanita warga asing dalam bilik tertutup dan berkunci terkejut apabila premis itu diserbu penguat kuasa.

Dua lelaki itu kemudiannya ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam Ops Bersepadu Unit Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sebuah premis rumah urut di Seremban bermula 9 malam tadi.

Difahamkan, kedua-dua lelaki berusia 30-an itu ditahan kerana bersekedudukan dengan pasangan bukan muhrim di dalam ruang tertutup dan berkunci malah didapati melanggar syarat lesen yang dikeluarkan MPS dengan membuat kunci pada bilik berkenaan.

Yang Dipertua MPS, Datuk Zazali Salehudin berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di tiga premis urut dan dua hotel di sekitar Seremban dalam operasi yang turut disertai JHEAINS dan polis.

“Dalam pemeriksaan ini kami mengeluarkan lima kompaun kepada tiga premis urut kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan manakala pemeriksaan di hotel tidak menemui kesalahan.

“Tiga kompaun dikeluarkan mengikut Undang-undang Kecil (UUK) rumah urut MPS kerana dua premis didapati tidak mempunyai lesen manakala satu kompaun kerana kesalahan langgar syarat lesen kerana membuat selak atau kunci di bahagian pintu.

“Dua lagi kompaun dikeluarkan mengikut UUK Iklan MPS iaitu premis rumah urut mempamer iklan tambahan tanpa permit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, JHEAINS menahan dua orang awam yang beragama Islam kerana disyaki bersekedudukan dengan pasangan bukan muhrim iaitu pekerja wanita warga asing di dalam bilik tertutup.

“Mereka disyaki berkhalwat dan ditahan mengikut Seksyen 61 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1962 manakala pasangan wanita tidak ditahan kerana bukan Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 4:14 PM