TENAGA pengajar dari AMU memberi penerangan lengkap kepada pelajar berkenaan Endo Tracheal Tube (ETT).
TENAGA pengajar dari AMU memberi penerangan lengkap kepada pelajar berkenaan Endo Tracheal Tube (ETT).
Siti Farahiyah Aziz


Paramedik bukan sekadar kerjaya sampingan dalam bidang perubatan, malah peranannya dalam memastikan mangsa kecemasan atau kemalangan sangat diperlukan untuk memberi rawatan awal.

Sekilas pandang, masyarakat kurang mengetahui kerjaya sebenar seorang paramedik, sebaliknya menganggap mereka cuma pemandu ambulans kerana biasanya rawatan dilakukan pakar perubatan atau doktor.

Menyedari keperluan dan kepentingan paramedik sebagai kerjaya profesional, Universiti Asia Metropolitan (AMU) yang ditubuhkan pada tahun 2004 memperkenalkan kursus diploma paramedik pada 2008 dan ijazah sarjana muda paramedik pada 2010.

Dekan Fakulti Sains Terapiutik dan Perubatan Kecemasan AMU Dr Noorulainah Jalaludheen sangat menggalakkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), asasi atau diploma perubatan memilih kursus paramedik.

“Setakat ini, di negara ini AMU satu-satunya universiti swasta menawarkan kursus ini. Universiti awam pula Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Sepanjang tempoh pengajian, pelajar didedahkan dengan pembelajaran secara teori terlebih dahulu sebelum mereka perlu menyelesaikan beberapa tugasan klinikal.

“Pada tahun akhir, mereka mesti menjalani tempoh latihan industri di mana-mana pusat perubatan,” katanya.

Menurutnya, dari segi pengkhususan kerja, graduan bakal mendapat tempat mengisi peluang pekerjaan sebagai paramedik kerana memperoleh sijil dan lesen berkaitan paramedik.

“Setakat ini, kebanyakan graduan paramedik AMU berkhidmat dengan perkhidmatan ambulans, pusat perubatan, kilang serta industri minyak dan gas di dalam atau luar negara termasuk Singapura dan Asia Barat seperti Qatar dan Dubai,” katanya.

Berbeza dengan pembantu perubatan, paramedik turut memandu ambulans ke lokasi kemalangan atau kecemasan. Keadaan itu membuatkan pihak universiti menyarankan pelajar mengambil ‘defensive driving’ atau lesen memandu ambulans kerana mereka orang pertama yang menguruskan pesakit apabila berlaku kecemasan atau kemalangan.

Kebiasaannya, tiga minit pertama waktu kritikal bagi pesakit dan paramedik perlu melakukan kerja menyelamat.

Ini kerana tempoh itu adalah masa emas bagi menyelamatkan pesakit atau mangsa dengan melakukan rawatan asas sebelum ke hospital.

Berikutan itu, graduan paramedik didedahkan dengan latihan amali, antaranya pengurusan kecemasan, kemahiran menyelamat, survival serta dihantar ke kawasan bencana.

Noorulainah berkata, pihak AMU turut menyediakan ambulans bagi memudahkan pelajar paramedik bersiap sedia mengendalikan kes kecemasan di sekitar universiti.

“Kami juga berkolaborasi dengan pasukan penyelamat seperti pihak bomba dan penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam kerana bantuan paramedik diperlukan bagi memberi rawatan awal selepas diselamatkan dan mengenal pasti simptom dialami pesakit.

“Selain menyelamatkan pesakit, paramedik perlu mempunyai ketahanan mental kerana mereka perlu mengawal emosi dan memberi khidmat terapi emosi kepada keluarga pesakit,” katanya.

Selain kursus paramedik, di bawah fakulti yang sama AMU turut menawarkan beberapa kursus menarik peringkat diploma dan ijazah seperti Fisioterapi, Pengimejan Perubatan dan Radioterapi.

Pelajar juga boleh meneruskan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan yang ditawarkan AMU dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai AMU di amu.edu.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 11:57 AM